KUALA LUMOUR – FGV Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM35.42 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, jauh lebih baik berbanding kerugian bersih RM142.35 juta pada suku sama tahun lalu.

Kumpulan itu mengatakan kerugian disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada semua segmen perniagaannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, pendapatan suku tahun menurun sebanyak 15.3% suku ke suku kepada RM3.39 bilion daripada RM4.01 bilion.

Berdasarkan tahun ke tahun kerugian bersih suku tahunan kumpulan itu jauh lebih rendah berbanding dengan RM142.35 juta.

Pendapatan suku tahunan meningkat 21.9% tahun ke tahun dari RM2.78 bilion.

Prestasi ini disumbangkan oleh margin lebih tinggi produk sawit di samping prestasi perniagaan gula yang memberangsangkan.

Dalam kenyataan berasingan, FGV berkata, syarikat itu  merekodkan keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM186 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021 dengan penambahbaikan ketara berbanding kerugian operasi sebanyak RM56 juta pada suku tahun sama sebelumnya.

Bagi suku tahun dikaji, harga purata minyak sawit mentah (MSM) ialah RM3,172 setiap tan metrik (MT) iaitu 19 peratus lebih tinggi berbanding harga purata MSM yang direalisasikan pada suku pertama tahun kewangan 2020 (S1 TK2020) sebanyak RM2,669 MT.

Pendapatan Kumpulan FGV melonjak kepada RM3.39 bilion dari RM2.78 bilion pada tahun sebelumnya iaitu lonjakan sebanyak 22 peratus tahun-ke-tahun disokong oleh harga purata MSM yang lebih tinggi, volum kukuh serta harga yang lebih bagi produk pengguna dan baja.

Pegawai Bertanggungjawab, Azman Ahmad, Kumpulan FGV dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan berkata, selaras dengan pengekalan harga purata MSM direalisasikan dan minyak sawit siap diproses (MSP) yang tinggi, kumpulan itu mencatatkan pengukuhan keuntungan operasi menerusi margin tinggi di bahagian perladangan dan perniagaan gula.

Bagaimanapun, keuntungan FGV terjejas disebabkan oleh caj pelarasan nilai semasa ke atas Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

Bagi tempoh ini FGV mencatatkan pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) sebanyak RM42 juta yang disokong oleh keuntungan operasi sebanyak RM186 juta, namun dimbangi oleh pelarasan nilai semasa LLA sebanyak RM144 juta.

Sektor Perladangan FGV merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM51 juta berbanding RM147 juta pada S1 TK2020, peningkatan 66 peratus tahun ke tahun yang disumbangkan oleh pembaikan dalam margin MSM selaras dengan harga purata MSM direalisasikan dan kos MSM ke pintu kilang yang rendah.

Di segmen huluan di bawah sektor perladangan, FGV merekodkan LBZT lebih rendah sebanyak RM63 juta pada S1 TK2021 berbanding LBZT sebanyak RM137 juta pada tempoh tersebut disebabkan oleh margin tinggi dalam produk sawit.

Sementara itu, pendapatan di bawah segmen ini meningkat kepada RM1.78 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM1.35 bilion pada suku tahun yang sama.

engeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat kepada 0.74 juta MT bagi suku tahun dikaji berbanding 0.71 juta MT pada suku tahun yang sama, sementara hasil BTS meningkat kepada 2.93 MT/ha berbanding 2.81 MT/ha yang turut menyaksikan peningkatan tahun ke tahun kedua-duanya sebanyak 4 peratus.

Ini disumbangkan oleh pembaikan dalam pemulihan tanaman di samping buah matang dan pengurangan kawasan pokok sawit tua.

Namun begitu, pengeluaran MSM sedikit merosot sebanyak 2 peratus tahun ke tahun kepada 0.505 juta MT berbanding 0.514 juta MT pada suku tahun terakhir yang sama ekoran penurunan BTS siap diproses, terutamanya daripada pihak luar.

Kadar perahan minyak (OER) bagi suku tahun dikaji turut merosot kepada 20.05 peratus berbanding 20.10 peratus pada tahun sebelumnya kesan kualiti BTS siap diproses yang rendah akibat hujan lebat.

”Perlu diberi perhatian bahawa dua pertiga sumber BTS FGV dibekalkan oleh pihak luar jika dibandingkan dengan syarikat perladangan lain yang hanya membekalkan kurang dari 5 peratus BTS luar.

”Ini menunjukkan keunikan cabaran yang dihadapi oleh FGV terutamanya apabila harga meningkat pada bulan semasa namun menurun pada bulan seterusnya.

”Kekurangan pekerja ladang migran dan hujan lebat turut mempengaruhi keseluruhan prestasi perladangan bagi tempoh masa yang dikaji,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kesan penurunan kos ladang, kos MSM ke pintu kilang merosot dengan ketara sebanyak 9 peratus tahun ke tahun kepada RM2,015 setiap MT berbanding RM2,212 setiap MT.

ementara itu, faktor penggunaan (UF) sedikit merosot sebanyak 1 peratus y-o-y kepada 50.17 peratus dari 50.45 peratus ekoran volum tanaman pihak ketiga yang rendah.

Segmen Hiliran Kumpulan di bawah Sektor Perladangan pula mencatatkan PBZT sebanyak RM16 juta pada S1 TK2021 berbanding RM10 juta pada tahun sebelumnya. Pembaikan ini hasil dari margin lebih tinggi ke atas jualan minyak isirung sawit mentah (CPKO) di samping keuntungan lebih tinggi dalam perniagaan usaha sama.

Jualan produk pengguna FGV juga meningkat sebanyak 18 peratus y-o-y kepada 91,138 MT berbanding 77,487 MT yang turut disumbangkan oleh kenaikan volum jualan di segmen pukal terutamanya peningkatan pasaran eksport.

Sementara itu, segmen ini turut merekodkan penurunan volum jualan biodiesel sebanyak 33 peratus y-o-y kepada 12,384 MT berbanding 18,503 MT yang disebabkan oleh kelemahan permintaan dalam mandat palm methyl ester (PME) oleh syarikat petroleum yang terkesan oleh wabak Covid-19 dan Kawalan Perintah Pergerakan (PKP) 2.0.

Selain itu, segmen penyelidikan & pembangunan (R&D) dan Baja di bawah sektor perladangan FGV merekodkan LBZT lebih rendah sebanyak RM4 juta bagi tempoh masa yang dikaji berbanding RM20 juta LBZT pada tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh volum jualan tinggi dalam perniagaan produk baja dan biji benih.

Sektor gula, anak syarikat milikan penuh FGV sebanyak 51 peratus, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mengekalkan momentum dan mencatatkan keputusan positif kedua bagi suku tahun sama berturut-turut dengan merekodkan PBZT RM51 juta bagi suku tahun dikaji yang menyaksikan pembaikan ketara dalam LBZT tahun sebelumnya sebanyak RM28 juta.

Pendapatan sektor juga meningkat kepada RM515 juta pada S1 TK2021 berbanding RM513 juta pada suku tahun sama sebelumnya.

Sektor Logistik FGV mencatatkan peningkatan PBZT sebanyak RM16 juta berbanding RM15 juta pada suku tahun sama sebelumnya

Azman berkata, FGV menjangkakan harga MSM kekal tinggi namun suasana operasi di sektor perladangan akan kekal mencabar kesan daripada wabak Covid-19 dan kesukaran mendapatkan buruh.

Perniagaan gula pula kekal optimis terhadap pelan pemulihan dan mampu mencapai pertumbuhan mampan dengan fokus tambahan terhadap eksport.

Penggunaan gula domestik pula dijangka kekal kukuh kesan Perintah Kawalan Pergerakan manakala perniagaan logistik pula akan meneruskan strategi bagi menambahbaik volum jualan, margin dan kecekapan operasi, kata beliau. – MalaysiaGazette