KUANTAN – Rakyat di negeri ini digesa mendaftar dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19, kata Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Kata beliau, rakyat tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri dengan menolak vaksin.
“Kita hantar pegawai di kawasan pedalaman di lokasi yang kurang capaian internet bagi membantu penduduk membuat pendaftaran vaksin supaya lagi ramai mendaftar, lagi cepat bekalan vaksin sampai.
“Semakin meningkat pendaftaran vaksin, jika semalam jumlah pendaftarannya 12,000 pendaftaran dan kelmarin 8,500 (pendaftaran), semalam 4,500 (pendaftaran) berbanding hari-hari terdahulu hanya 1,000 lebih.
“Jika dianggar kini, hampir 40 peratus rakyat sudah pendaftar melalui applikasi MySejahtera berbanding 25 peratus sahaja pada April lalu yang mensasarkan 1.2 juta penduduk, dan boleh juga mendaftar melalui Sistem Imunisasi Covid-19 pahang (SICP),” katanya hari ini.
Sallehuddin berkata, kini Jabatan Mufti Negeri Pahang juga memainkan peranan dengan menangani persepsi negatif tentang hukum pengambilan vaksin kepada masyarakat umum.
“Janganlah kita jadi penyebar sebaliknya jadi penawar selain dari pada mengawal pergerakan daripada merebaknya wabak ini hendaklah kita mendaftar vaksin,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN :
Pahang peruntuk RM7.8 juta Bantuan Prihatin Covid-19
Sementara itu, beliau memberitahu, Pahang berpotensi untuk menjadi negeri pertama bebas daripada Covid-19 sekiranya masyarakat memberi kerjasama. – MalaysiaGazette