Reaksi pemain Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2021 antara pasukan Selangor FC menentang Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Piala Malaysia 2021 dan Piala AFF Suzuki pada tahun ini apabila dinasihatkan untuk menjalani proses pemulihan sehingga tahun hadapan.

Shahrel yang berdepan kecederaan dalaman di bahagian pergelangan kaki pada awal Mei lalu masih dalam fasa pemulihan dan dijangka mengambil masa empat hingga lima bulan untuk pulih.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2020 ini mendapat saranan doktor untuk tidak terburu-buru kembali ke padang dan hanya boleh kembali berlatih bermula tahun depan.

Mengakui situasi yang dialaminya ketika ini bukan mudah untuk diterima kerana masih belum puas beraksi pada musim ini, tetapi Shahrel perlu memikirkan kesan jangka masa panjang bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk berlaku.

“Lepas pembedahan tempoh hari, sekarang dah tak rasa sakit sangat, cuma nak dapat keyakinan untuk berjalan normal balik tu saya masih rasa takut lagi.

“Memang ikutkan doktor cakap dalam empat hingga lima bulan saya akan pulih, tetapi kalau nak terus masuk berlatih, takut benda yang tak diingini berlaku yang boleh menyebabkan saya tak dapat bermain buat selama-lamanya.

“Jadi doktor cakap memang kena ambil masa lebih panjang dan boleh kembali berlatih semula pada tahun depan, jadi Piala Malaysia terlepas, Piala AFF Suzuki pun terlepas.

“Mula-mula rasa mengeluh juga tapi saya percaya apa yang berlaku dekat kita sekarang ini, insyaAllah kita akan lebih berjaya di masa depan dan ia tak akan mematahkan semangat saya”, jelasnya.

Pemain berusia 27 tahun ini hanya sempat menjaringkan satu gol bersama Selangor FC ketika menentang Sri Pahang FC pada Mac lalu dan hanya diketepikan untuk berada dalam skuad ketika aksi ke 13 Liga Super menentang Terengganu FC susulan kecederaan dialami.

Berbanding musim lalu apabila berjaya meledak 10 gol bersama Perak, semestinya Shahrel mengharapkan sinar yang lebih baik untuknya bangkit semula pada musim depan.

“Walaupun tanpa saya selepas ini, saya harap Selangor dapat memberikan saingan yang lebih hebat sebaik sahaja liga kembali bersambung nanti.

“Dan untuk saya sendiri, saya akan lebih fokus kepada proses pemulihan ini dan berazam untuk menjadi pemain yang lebih cemerlang pada masa akan datang”, katanya.

Selangor FC ketika ini berada di tangga kelima Liga Super dengan 19 mata selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast