KUALA LUMPUR – Suami selebriti Neelofa, Haris Ismail mendedahkan dia perlu mengambil masa menjaga isterinya yang sebelum ini sudah terbiasa menjadi ketua dalam kehidupannya.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berkongsi pengalamannya itu menerusi satu sesi Live bersama peminat dalam Instagram @lofa.redland_nlf baru-baru ini.
Pendedahan itu dibuat selepas pasangan itu menjawab soalan seorang peminatnya yang bertanyakan kepada Haris: “Susah tak nak jaga Neelofa, ustaz?”
Haris, 26, kemudian menjawab ada waktu susah dan senang untuk menjaga isterinya.
“Ada susah dan ada senang. Tapi secara keseluruhannya itu (perkahwinan) merupakan satu pengalaman yang mencabar.
“Dia (Neelofa) dah lama jadi bos. Jadi bila kita datang sebagai seorang suami, jihad dia adalah untuk dengar cakap saya,” katanya.
Haris memberitahu personaliti Neelofa menyebabkan dia sukar untuk memberi arahan kepada isterinya itu.
“Jadi perkara itu sebenarnya bukan semudah yang disangka (bagi Neelofa) dan memerlukan sedikit masa,” kata Haris.
Sementara itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, menambah, dia juga memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan selepas bergelar isteri.
“Bila ada suami, memang kita wajib taat melebihi ibu bapa. Bukan senang sebenarnya. Kadang-kadang saya terlepas pandang,” ujarnya.
Neelofa dan Haris diijabkabulkan pada 27 Mac lalu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette