KUANTAN – Menjelang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (total lockdown) 1 Jun nanti nampaknya warga bandar raya ini masih membeli barangan seperti biasa dan tidak ada kejadian pembelian panik.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Besar Kuantan hari ini mendapati keadaan masih terkawal dan bekalan barang masih mencukupi sehingga operasi perniagaan tamat pukul 2 petang.
Dua laluan pintu utama disediakan kepada pelanggan yang mahu memasuki Pasar Besar Kuantan di mana pembeli dikehendaki mendaftar aplikasi MySejahtera, mengimbas pemeriksaan suhu, pemakaian cecair pembasmi kuman dan diberikan kad nombor giliran.
Hanya 20 pelanggan dibenarkan masuk bagi setiap bahagian pada satu-satu masa dan keadaan kelihatan tidak sesak sebaliknya nampak teratur serta dipantau petugas pengurusan.
Bagi warga emas, kanak-kanak dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk dan berusan di dalam pasar dan operasi bermula seawal pukul 6 pagi.
Namun menjadi rutin kadar pembelian dan penambahan lebih 50 peratus pelanggan pada setiap hujung minggu memang dijangka pada hujung minggu untuk membeli barangan keperluan.
Ketika ditanya, pihak pengurusan pasar raya itu memaklumkan pemantauan juga dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Hari ini sahaja, hampir 30 peniaga ayam di pasar besar berkenaan menyediakan bekalan mencukupi dengan purata 300 ayam bersamaan 700 kilogram bagi setiap penjualnya.
Bagaimanapun, peniaga barangan basah seperti ikan dan hasil makanan laut pula berkongsi rasa runsing memandangkan jualan mereka susut kira-kira 40 peratus sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana berlaku pengurangan pelanggan secara pukal.
Dalam pada itu, peniaga sayur pula dilihat berpuas hati apabila kadar pematuhuan prosedur operasi standard oleh pembeli memudahkan urusan jualan harian.- MalaysiaGazette