Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah (tengah) beramah mesra dengan penerima vaksin, Saleh Apandy (kiri) dan Abdullah Dawam (kanan) di Hospital Pakar KPJ Johor yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksinasi Covid-19 di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Lokasi pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini diperluaskan apabila Hospital Pakar KPJ Johor antara hospital swasta dipilih untuk dijadikan pusat vaksinasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah dalam kenyataannya memberitahu, pelaksanaan pemberian vaksinasi itu dijangka mampu memberikan suntikan vaksinasi 200 dos sehari.

Ias ekaligus merealisasikan usaha kerajaan dalam meningkatkan jumlah penerima vaksin sehingga 150,000 suntikan sehari bagi tempoh dua bulan akan datang.

“Kesemua senarai temujanji penerima vaksinasi Covid-19 akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui pendaftaran aplikasi MySejahtera.

“Pihak Hospital hanya menyediakan fasiliti dan petugas untuk pemberian vaksinasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

“Lebih 100 petugas kesihatan Hospital Pakar KPJ Johor yang terlatih akan ditempatkan di pusat ini bagi membantu proses vaksinasi berjalan lancar dengan pematuhan ketat oleh KKM,” katanya.

Menurut Mohd Azhar, semua petugas telah diberikan taklimat secara menyeluruh mengenai pengurusan pemberian vaksin Covid-19.

“Petugas ini semua berpengalaman dan melakukan proses vaksinasi kepada petugas barisan hadapan di hospital sebelum ini.

“Jenis vaksin yang akan diterima oleh penerima di Hospital Pakar KPJ Johor juga akan ditetapkan oleh KKM melalui agihan vaksin kepada pihak hospital.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati kerana terpilih sebagai salah sebuah pusat vaksinasi bagi petugas barisan hadapan kita. Ia adalah sebahagian daripada sumbangan kami kepada negara dalam mencapai sasaran untuk memastikan Malaysia selamat daripada wabak Covid-19,” katanya.

Kerjasama antara pihak swasta dan awam jelas beliau, amat penting dalam usaha memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pengambilan vaksin.

Setakat ini, vaksinasi di hospital swasta masih belum ditawarkan secara berbayar dalam tempoh terdekat ini maka orang awam dinasihatkan tidak tertunggu-tunggu serta ‘menyerbu’ hospital swasta untuk mendapatkan slot suntikan vaksin.

Prosedur dan proses mendapatkan vaksin di hospital swasta jelas Mohd Azhar tetap sama seperti hospital kerajaan atau pusat komuniti lain iaitu pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bagi individu yang layak.

“Di Hospital Pakar KPJ Johor lebih 95 peratus petugas dan kakitangannya telah lengkap menerima dua dos vaksinasi Covid-19 sejak PICK dimulakan Mac lalu.

“Pengambilan vaksinasi oleh warga KPJ Johor ini amat penting terutama dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada umum agar mereka lebih selesa dan yakin dalam mendapatkan rawatan di hospital kami,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast