Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
KUALA LUMPUR – Kematian ulama merupakan musibah malah ia bertambah apabila kematian mereka berturut-turut dalam waktu yang hampir seperti yang terjadi sejak kebelakangan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kadang-kadang hanya dalam tahun yang sama, beberapa tokoh ulama meninggal dunia hampir serentak.
Jelas beliau, ia seolah-olah rantaian biji-biji tasbih yang jatuh dan terungkai sekali gus.
“Lebih merisaukan lagi dalam kita menangisi pemergian para ulama’ dan kekalnya golongan jahil, terdapat segolongan telah mengambil tempat ulama, memakai pakaian-pakaian ulama dan menggunakan gelaran ulama.
“Sedangkan mereka tidak bersandarkan kepada ilmu, petunjuk dan kitab yang bercahaya. Apabila mereka berfatwa tanpa disandarkan ilmu dan apabila melakukan penghakiman juga melakukan cara yang sama. Na’uzubillahi min zalik!,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Semalam, Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun selepas seminggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan positif Covid-19.

Allahyarham, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri serta pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Dr Zulkifli berkata, hakikat manusia berakhir dengan kematian sebagai ujian Allah di muka bumi ini.

Katanya, sebuah ketabahan dan kesabaran serta redha dengan kehendak Allah adalah pakaian yang terbaik dan cara kita beriman dengan qadha’ dan qadar.

“Sesungguhnya berita pemergian Tan Sri Harussani pada hari ini, 30 Mei 2021 (semalam) amat menyedihkan kita semua,” katanya.

Ujar Dr Zulkifli, kalaulah tanpa bintang dalam kalangan ulama, nescaya kejahilan menguasai ilmu, kesesatan mengalahkan petunjuk.

Katanya, ketika itu, kegelapan batil akan menuntut cahaya kebenaran dan tentera kebenaran menerima kekalahan ketika berhadapan sejumlah kejahatan.

“Dengan itu, adanya ulama sebagai rahmat, berkat dan nikmat kepada ummah ini.
“Kematian mereka tanpa ragu lagi adalah musibah dan kehilangan mereka dari pentas dakwah adalah satu yang malang kepada ummah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast