KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Asnan Ahmad perlu bekerja lebih keras untuk bersaing tempat dalam skuad selepas berhijrah daripada Terengganu FC bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Asnan mengakui teruja apabila kembali ke negeri kelahirannya selepas kali terakhir beraksi di Kedah ketika Piala Presiden pada tahun 2013, namun memberi bayangan ia bukan mudah untuk mendapat tempat di hati pengendali, Aidil Sharin Sahak.
Bekas kapten UKM FC itu percaya Kedah juga mempunyai ramai pemain yang berpotensi dan berharap kehadirannya dalam pasukan mampu untuk memberi kekuatan tambahan apatah lagi minit permainan amat penting untuk Asnan pada musim ini.
Ini kerana dia hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan sahaja sebagai pemain gantian ketika bersama Terengganu FC musim ini.
“Sebab utama saya kembali ke Kedah kerana ini memang negeri kelahiran saya, jadi memang ada perasaan kuat nak pulang ke sini dan karier saya juga bermula daripada program pembangunan di sini.
“Masa di Terengganu, saya bukan la bergelut cuma kita tahu berada dalam pasukan yang memang tengah dalam prestasi terbaik, bukan mudah untuk jurulatih lakukan banyak perubahan dan peluang untuk saya beraksi tidak berapa nak ada.
“Dekat Kedah, saya lebih mengutamakan posisi tengah bertahan, tetapi jika diletakkan di mana-mana posisi lain, saya bersedia kerana yang paling saya nak adalah minit permainan”, katanya.
Tambah pemain berusia 28 tahun itu, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta keserasian bersama rakan sepasukan yang kini berlatih di kem latihan berpusat di Stadium Mini Baling.
Ini kerana, pemain-pemain senior yang sedia ada seperti Syazwan Zainon, Azamudin Akil dan Baddrol Bakhtiar banyak membantu sekali gus membantu memudahkan dirinya untuk menyerap corak latihan yang diberikan.
“Rata-rata pemain yang ada di sini kami memang sudah pernah bermain sekali dan juga dah kenal antara satu sama lain, jadi saya boleh sesuaikan diri dengan corak latihan di sini.
“Mereka juga ada kebolehan yang tinggi daripada aspek teknikal dalam latihan untuk kita sama-sama cepat mencipta keserasian.
“Apa yang penting, saya berharap agar pencapaian diri sendiri di Kedah akan meningkat baik di Liga Super atau di Piala AFC yang akan datang untuk saya membantu pasukan,” jelasnya.
Asnan sebelum ini telah beraksi bersama UKM FC selama lapan tahun sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Terengganu pada musim ini seterusnya melebarkan sayap ke Kedah pula untuk baki saingan Liga Super 2021. – MalaysiaGazette