Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Gombak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Ketika angka kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 di negara ini semakin melonjak, timbul pula isu tanah kubur yang dikatakan terhad dan waktu pengebumian yang singkat.

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid melahirkan rasa kecewa terhadap sebilangan pihak yang menguruskan tanah perkuburan di sekitar ibu negara serta negeri Selangor.

“Isu sekarang ini adalah tanah kubur yang terhad apabila hanya 10 jenazah dibenarkan untuk dikebumikan setiap hari iaitu tujuh untuk kes biasa manakala berkaitan Covid-19 pula hanya tiga kes sahaja.

“Ada yang bagi alasan kena ikut waktu pejabat, pukul 5 petang sudah tutup dan alasan tidak cukup kakitangan.

“Apa yang menyedihkan apabila jenazah terpaksa ditolak ke sana dan ke sini kerana si mati bukan kariah di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini, Muhammad Rafieudin berkata, beliau terpaksa menghubungi sehingga lima kawasan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian jenazah seorang pesakit Covid-19 yang berstatus penduduk tetap (PR).

Skuad Pengurusan Jenazah, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid. foto SYAFIQ AMBAK 06 DISEMBER 2018

Jelas beliau, kebanyakan pihak yang menguruskan tanah perkuburan menolak untuk menerima jenazah itu kerana individu terbabit bukan dari kawasan kariah berkenaan.

“Ada satu kes di mana jenazah itu merupakan PR yang tinggal di Ampang jadi saya terpaksa ‘call’ sehingga lima tanah perkuburan berlainan kerana kebanyakannya memberi alasan jenazah adalah orang luar dari kariah itu.

“Saya memang amat kecewa lah dengan situasi yang berlaku sehingga terpaksa iklan di Facebook SPJM untuk mencari tanah perkuburan yang kosong untuk mengebumikan jenazah.

“Ia bukan sahaja berlaku kepada penduduk yang memegang status PR tapi turut berlaku kepada penduduk tempatan,” katanya.

Jelas Muhammad Rafieudin, akibat urusan pengebumian jenazah yang terpaksa ditunda ia telah mengakibatkan berlakunya peningkatan bilangan jenazah yang terdapat di hospital-hospital awam ketika ini.

“Kematian akibat Covid-19 sudah terlalu banyak dan kita pun tahu hospital terpaksa menyimpan jenazah-jenazah itu di dalam kontena.

“Jenazah tak dapat dikebumikan pada hari yang sama selepas meninggal dunia kerana waris sendiri tidak jumpa tempat untuk urusan pengebumian sebab itu kita tengok berlaku lambakan jenazah di hospital.

“Jadi kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) menyeru kerajaan supaya melihat kepada isu ini kerana kita sedia maklum tanah kubur memang banyak cuma pihak berkaitan yang menguruskan kawasan berkenaan mengenakan kuota setiap hari serta menghadkan waktu pengebumian.

“Alasan tidak terima jenazah luar kariah juga tak sepatutnya berlaku kerana ada sesetengah tempat tanah kubur itu berstatus wakaf,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada pihak yang berkaitan supaya mengambil cakna isu berkenaan serta mengeluarkan garis panduan yang lebih tepat terutamanya berkaitan masa mengebumikan jenazah lebih-lebih di musim pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette