Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Tempoh memberi nasihat supaya orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah lama berakhir, selepas ini tindakan lebih tegas beserta kompaun akan dilaksanakan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setelah lebih setahun rakyat hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka sepatutnya lebih memahami situasi dan memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

“Saya rasa, kita sudah lebih 430 hari berada dalam suasana PKP dan saya percaya dan saya yakin anggota masyarakat memahami tujuan dan juga pelaksanaan PKP ini.

“Jadi, pada pandangan kita, mood atau tempoh nasihat ini sudah lama berakhir,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Bermula tengah malam ini (1 Jun), PKP Penuh akan dilaksanakan sehingga 14 Jun ini.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, polis tidak akan berdepan kesukaran untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) mengikut kawasan pentadbiran awam memandangkan setiap daerah akan dikordinasi oleh Ketua Polis Daerah dan polis negeri.

Katanya, sebanyak dua pertiga daripada 800 SJR seluruh negara berstatus tetap manakala selebihnya SJR bergerak.

Tambah beliau, pasukan pematuhan SOP akan mengadakan pemeriksaan mengejut dan tertumpu di kawasan luar bandar yang mana kadar pematuhannya kurang menggalakkan.

“Kita bermula esok sepanjang total lockdown 14 hari ini, akan fokus secara serius di kawasan kampung pedalaman serta berkunjung di kawasan wakaf dan sebagainya yang sentiasa jadi tumpuan penduduk pedalaman.

“Kita kali ini akan meminta Jabatan Penerangan memasuki kawasan-kawasan ini memberi hebahan siar raya kenderaan peronda polis dan termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan akan awasi mereka lebih giat lepas ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast