KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di zon-zon merah seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Inisiatif berkenaan dipercayai akan dapat membantu mengurangkan penularan wabak itu berikutan kurangnya pergerakan dalam tempoh dua minggu ini.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) Wong Chia Zhen berkata, penularan akan dapat dikawal apabila individu yang positif Covid-19 dikenalpasti terutama yang tidak mempunyai gejala.
“Saya percaya ia mesti berkesan jikalau saringan Covid-19 dibuat sekarang kerana pergerakan sudah dikawal, kes jangkitan harian dua minggu dari hari ini pasti turun mendadak kerana rantaian penyebaran virus diputuskan apabila mereka yang didapati positif dihantar ke pusat kuarantin,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, klinik swasta juga boleh membantu membuat ujian saringan Covid-19 di zon-zon merah bagi membantu fasiliti kesihatan awam pada waktu ini.
“Setahun dari penularan wabak Covid-19, proses dan pengendalian saringan sudahpun matang dan diperkenalkan di klinik swasta seluruh Malaysia, untuk kedua-dua kaedah saringan iaitu RT-PCR dan RTK-Antigen. Keputusan saringan juga dapat diterima dalam jangka masa sehari.
“Jadi, pelaksanaan saringan boleh diagihkan kepada klinik-kinik swasta yang berada dalam zon merah supaya saringan penuh ini boleh dilakukan dalam masa yang singkat.
“Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), YB Khairy Jamaluddin telahpun mengumumkan beberapa langkah untuk mempercepat kadar imunisasi. Jadi adalah tepat pada masanya, sekiranya saringan besar-besaran dibuat serentak dengan inisiatif kerajaan yang baru ini,” tambah beliau.-MalaysiaGazette