Takiyuddin Hassan emergency Covid-19 parliament sitting
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membenarkan peguam-peguam yang perlu mewakili anak guam bagi urusan pertuduhan baharu, penahanan perintah reman; dan permohonan jenayah pelbagai untuk hadir ke mahkamah.

Ini kerana, kehadiran secara fizikal di mahkamah bagi kes-kes berkenaan masih diperlukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini aktiviti-aktiviti perkhidmatan guaman adalah tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Pertama dari 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 kerana sektor ini tidak tersenarai di bawah kategori perkhidmatan perlu.

Menurutnya, kebenaran untuk ke mahkamah bagi peguam-peguam yang mewakili anak guam bagi kes berkenaan boleh diperolehi daripada balai polis berdekatan.

Pihak peguam dipohon untuk merujuk kepada SOP Perkhidmatan Guaman Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, kerajaan turut bersetuju supaya firma guaman yang terlibat dengan perkhidmatan guaman korporat dan conveyancing untuk sektor perkhidmatan perlu untuk memohon kebenaran beroperasi mengikut syarikat/kilang/perniagaan berkaitan perkhidmatan perlu yang diwakili.

Dalam hubungan ini, firma guaman yang mewakili syarikat/kilang/perniagaan ini boleh memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Beliau meminta semua pihak patuh kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Pertama berkuatkuasa agar objektif untuk melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dapat dicapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast