KUALA LUMPUR – Walaupun ramai yang seronok mendengar pengumuman bantuan kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan semalam, tetapi rakyat tak boleh berterusan begini.
Ini kerana, Perdana Menteri berkata, kos pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat melibatkan RM2.4 bilion sehari.
Maknanya, jika dua hari bersamaan dengan kos vaksin sebanyak RM5 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Kalau empat hari lockdown sudah boleh bayar harga premium berganda supaya Malaysia mendapat tempahan awal.
”Kalau gagal lagi tak kan nak lockdown lagi dan umum bantuan lagi?
“Bantuan PKP 3.0 kerana kegagalan kita sebelum ini. Benar rakyat ada salahnya, tak ikut SOP, nak balik raya. Rakyat pulak tanya kita, siapa yang gatal buat gerakan jatuhkan kerajaan Sabah? Buat PRN dan tak mahu kurantin wajib 14 hari semua yang pulang dari sana? Kita tak jawab pun soalan ini.
”Kita semua ada peranan dan kelemahan kita. Semua kena buat kerja. Menteri-menteri kita lebih lagi. Ada power dan ada aparatus yang besar. Masa dah tak banyak, kalau bulan Ogos tak selesai lagi, takkan nak tambah darurat lagi? Itu bukti kegagalan lebih besar.
”Hari ni 1 Jun. 1 Ogos hanya dua bulan lagi. Potong gaji 3 bulan macam tak kena. Sebab pada tanggal 1 Ogos macam-macam boleh berlaku,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau berpegang pada janji bahawa darurat akan ditamatkan lebih awal daripada tarikh 1 Ogos jika pandemik Covid-19 berjaya dibendung.
Dalam reaksinya berhubung pengumuman semalam, Shabery berkata, selain mengumumkan Jemaah Kabinet tidak mengambil gaji selama tiga bulan, Perdana Menteri sewajarnya mengarahkan mereka bersama-sama menangani pandemik Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan vaksin.
”Jangan suruh KJ seorang,” katanya.
Menurut beliau, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sepatutnya mencari setiap pekerja di setiap estet, pekebun kecil atau Felda.
Manakala Menteri Pertanian dan Industri Pertanian mesti memastikan setiap petani, penternak dan nelayan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar pula perlu melibatkan semua jentera luar bandarnya kerana isu tak daftar dan tak hadir banyak di luar bandar.
Menurutnya, setiap menteri ada kakitangan yang beribu seperti Menteri Pendidikan ada 400,000 guru yang setelah divaksin boleh dikerahkan sebagai sukarelawan vaksin.
Kempen, ajar MySejahtera, bantu pendaftaran dan banyak kerja lain yang boleh bantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Cikgu tinggalkan kerja lain dulu, ujarnya.
”Buat mapping. Ada 222 kawasan Parlimen. Ada 70 menteri dan timbalan. Seorang baru jaga 3 kawasan. Hampir semua dah ada kawasan masing-masing. Cuma tambah 2 atau 3 kawasan sahaja sorang lagi.
”Panggil D.O (pegawai daerah) dan kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan. Tanya masalah, cari jalan, bincang dan bantu perjalanan rakyat yang jauh ke pusat vaksin.
”Vaksin, vaksin, vaksin bukan sekadar untuk warganegara sahaja, tapi semua. Termasuk pekerja ladang, kilang yang bukan warga negara atau pendatang Filipino yang berjuta orang di Sabah. Kalau mereka tak divaksin kita juga susah. Sebab tu Israel pun cari orang Palestin di Juruselem Timur dan yang bekerja dalam negara mereka untuk divaksin. Bukan sayang tapi untuk lindungi diri sendiri. Israel hanya tak peduli penduduk Gaza atau Tebing Barat sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Tahniah Dato Seri..
Dah lama tak dengar idea yg baik dr pemimin umno.
Yg selalu melalak asyik isu yg sama