Ebit (empat dari kiri) tiba di Kedutaan Malaysia di Mesir dalam misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang digerakkan oleh pendakwah, Ustaz Ebit Lew berjalan dengan lancar.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, beliau berkomunikasi dengan Ebit setiap hari untuk memantau perkembangan misi tersebut.

“Ustaz Ebit Lew is in contact with me directly, ustaz dengan janjinya bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) akan dipenuhi jadi beliau akan laporkan kepada saya setiap hari.

“Misi beliau berjalan dengan lancar dan beliau turut membantu kita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sana. Jadi kita pantau secara dekat dan saya percaya beliau bersama delegasi selamat dan akan pulang dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara atas talian selepas pelancaran kempen Humanitarian Aid Fundraising From Malaysia, For Palestin hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, segala maklumat yang diterima mengenai misi tersebut akan dikongsi kepada umum dari semasa ke semasa.

Hishammuddin dalam masa sama turut bertanyakan maklum balas daripada delegasi berkenaan mengenai bantuan yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini.

“Sebab itu gerakan-gerakan yang ikhlas dan tidak ada kepentingan lain, usaha sebegini Kementerian Luar Negeri tak teragak-agak untuk terus membantu,” ujarnya.

Sebelum ini Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pendakwah itu bagi memaklumkan misi kemanusiaan yang dijadual bermula pada 26 hingga 30 Mei.

Menurutnya, misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada SOP semasa.

Dalam pada itu, Hishammuddin ketika ditanya mengenai perkembangan dakwaan warga Malaysia, ‘Dr. Nur’ yang didakwa ditahan Israel berkata, semua pihak diminta menunggu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berhubung kait dengan isu yang katanya ada rakyat Malaysia ditahan oleh Israel, apa jua maklumat yang kita terima daripada orang ramai dan daripada misi kita di sana, kita dah pun panjangkan kepada PDRM.

“Laporan awal telah menunjukkan bahawa apa yang dibangkitkan boleh diragui sebab itu saya harap supaya semua pihak tunggu lah siasatan daripada PDRM untuk mendapat maklumat yang lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan berhubung dengan isu ini.

“Semua sedia maklum isu yang berkaitan dengan rakyat kita yang berada di sana, isu yang berhubung kait dengan Israel ianya bercampur baur dengan emosi dan kita sebagai satu kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Luar tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’ yang tular dikatakan ditahan Israel.

Menurut kenyataan kementerian itu, ia sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada beliau.

Katanya, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama Dr. Nur yang mendaftarkan keberadaan di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette