Nasib hampir 1, 000 pemandu teksi di Kuantan ibarat telur di hujung tanduk.

KUANTAN – Nasib hampir 1, 000 pemandu teksi di sini ibarat telur di hujung tanduk!

Ini kerana kebanyakan mereka sudah tidak mampu bertahan dan ada yang terpaksa mencari inisiatif lain bagi menampung kehidupan.

Nik Hafiz AbdullahSalah seorang pemandu teksi, Nik Abdullah Hafiz, 29, berkata, dia sudah menjadi pemandu teksi sejak lapan tahun lalu namun keperitan mencari rezeki berlaku sejak tahun lalu apabila Covid-19 melanda negara.

“Kalau dahulu saya boleh dapat RM4,000 sebulan dengan memandu teksi namun kini nak dapat RM50 pun payah.

“Susah, kereta tak gerak ke mana walau bagaimanapun alhamdulillah dapat kali kedua bantuan oleh kerajaan negeri.

“Kereta teksi memang tak jual tapi kena merancang cari kerja lain atau buat sementara mungkin kalau ada permintaan untuk menghantar pelanggan boleh dipertimbangkan bagi kes kecemasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Namun Nik Abdullah masih bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki dengan pendapatan lain dan akan meneruskan karier turun temurun dari ayahnya itu apabila penularan pandemik semakin reda.

Muhammad Asri Che Mat.

Manakala bagi Muhammad Asri Che Mat, 54, yang berpengalaman membawa teksi berpusat di lapangan terbang selama 30 tahun mengakui kesusahan yang ditanggung apabila hilang punca pendapatan.

“Bantuan kewangan sangat diperlukan dan semoga kerajaan membenarkan sektor kami beroperasi semula memandangakan lapangan terbang juga ditutup.

“Dulu ada simpanan sikit dan geran bantuan RM3,000 dan terkini kerajaan umum bantuan RM500, jadi kami berjimat cermat dan dapat membantu untuk bertahan lagi.

Azwan Awang Kecik.

Dalam pada itu, Azwan Awang Kecik, 41,  juga mengharapkan nasib pemandu teksi di daerah ini terbela dengan mengutamakan proses penerimaan vaksin.

“Saya buat dua tiga kerja menampung keluarga namun saya harap kerajaan juga membantu kami dapatkan vaksin sebab kami juga berisiko dan mudah mendapat kontak rapat.

“Cerita pasal survive ini memang perit musim pandemik ini, saya sampai jual burger bungkus hantar kedai runcit, macam-macam lagi.

“Selain itu, kami juga berharap bantuan sara hidup yang diberikan kepada sahabat kami iaitu nelayan yang dapat bantuan pada musim tengkujuh,” ujarnya.

Menteri Besar Pahang, datuk Seri Wan Rosy Wan Ismail menyampai sumbangan Bantuan Prihati Pahang secara pandu lalu di TSK, Kuantan, Pahang hari ini.

Sementara itu, seramai 366 pemandu teksi yang berdaftar di Kuantan hari ini menerima bantuan kerajaan negeri di Terminal Sentral Kuantan (TSK) secara pandu lalu yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, kerajaan persekutuan juga mengumumkan pemberian bantuan khas secara sekali bayaran kepada pemandu teksi sebanyak RM500 yang akan disalurkan pada bulan Julai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tunggu 4 jam, satu penumpang pun tiada

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast