KUALA LUMPUR – Hanya 40 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 bermula hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar stesen bas di Pasar Seni dan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di sini mendapati keadaan lengang dan tiada kesesakan penumpang.
Menurut sumber, penambahan penumpang menggunakan tren LRT Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berlaku pada waktu kemuncak sekitar jam 7 hingga 9 pagi tadi dan 5 petang hingga 7 malam.
Namun, situasi itu tidak menyebabkan kesesakan seperti Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) sebelum ini yang membenarkan pekerja semua sektor untuk bekerja.
Dalam pada itu, Prasarana sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa waktu ketibaan tren dan mengingatkan penumpang agar membawa surat kebenaran kerja ketika menaiki pengangkutan awam.
Ini sebagai langkah awal agar mereka tidak dikenakan sebarang tindakan dari pihak berkuasa yang membuat pemeriksaan di dalam pengangkutan awam.
MalaysiaGazzette juga mendapati, rata-rata penumpang mematuhi arahan yang ditetapkan oleh kerajaan dengan menjaga jarak, mendaftar aplikasi MySejahtera serta membawa surat kebenaran bekerja.
Seorang pekerja am, Hassan Zainal Abidin, 22, berkata, situasi pada hari pertama PKP Penuh Fasa 1 berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit kelewatan penjadualan waktu tren.
“Saya dari Setiawangsa ke KLCC untuk bekerja dan semuanya berjalan dengan lancar dan tiada masalah apa-apa pada hari pertama,” katanya ketika ditemui hari ini.
Manakala bagi Juliana Mohd Hatar, 44, dia terpaksa keluar awal hari ini bagi urusan penting memaklumkan keadaan tren hari ini lancar dan tidak berlaku kesesakan.
“Hari ini okay, cuma bila saya naik teringatkan insiden tren minggu lalu tapi tren memang kosong hari pertama PKP Penuh ini,” ujarnya.
Pada 30 Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, sepanjang total lockdown itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette