SHAH ALAM – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan ketika ini memaksa hampir semua peniaga mahu pun pemilik restoran menukar strategi perniagaan mereka demi kelangsungan hidup.
Bagi pengurus restoran makanan Barat, Westplate Factory, Mohammad Assraf Maidin Koty, dia terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos operasi apabila membuka gerai tepi jalan dengan menjual nasi kukus ayam ayam berempah dan ayam penyet.
Jelas usahawan muda berusia 28 tahun ini, ketika dia tidak mempunyai pilihan lain kerana tiada pelanggan yang datang ke restorannya yang menyebabkan kehilangan jualan RM8,000 sehari berbanding ketika pelanggan dibenarkan makan di restoran.
“Sejak PKP pada 12 Mei lalu, hendak dapat jualan RM500 sehari pun susah. Bayangkan saya memerlukan RM1,500 sehari untuk membayarkan kos sewa dan gaji pekerja.
“Saya kini semakin membuntu kerana semua wang simpanan sudah digunakan dan semakin habis.
“Sejak kami beroperasi ketika PKP Bersyarat (PKPB) tahun lalu saya tidak buang kakitangan dan membuat syif waktu bekerja demi menjaga kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di restoran di Jalan Pelabur, Seksyen 23 di sini baru-baru ini.
Assraf mula menceburi bisnes makanan dan minuman pada tahun 2017 dengan membuka cafe kecil yang bermodalkan RM750. Hasil kegigihannya, anak kelahiran Kelantan ini berjaya mengembangkan bisnesnya dengan membuat katering.
Dia mengambil risiko membuka restoran makanan Barat itu pada 1 Jun tahun lalu ketika PKPB selepas perancangan mengambil alih perniagaan dibuat sejak awal 2020.
Assraf menambah, gerai tepi jalannya itu kini mampu memberi jualan sehingga RM200 sehari memandang menu nasi menjadi kegemaran ramai masyarakat.
“Saya bersyukur walaupun jualan hanya RM200, sekurang-kurang dapat menampung kos operasi sedia ada,” katanya yang memiliki 18 kakitangan.
Jelasnya, Westplate Factory tutut menawarkan satu perkhidmatan dikenali Anda Derma Kami Delivery sebagai menampung segala kos restoran dan bertahan sepanjang tempoh PKP penuh ini.
“Perkhidmatan ini menggalakkan pelanggan membuat pesanan makanan dari restoran untuk didermakan kepada pihak yang memerlukan seperti petugas barisan hadapan, rumah anak yatim, golongan asnah dan rumah kebajikan.
“Saya berharap ia dapat membantu antara satu sama lain dalam musim pandemik ini agar kami dapat bertahan untuk meneruskan hidup manakala mereka yang mempunyai rezeki lebih boleh membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Assraf berkata, pihaknya turut menawarkan harga mampu milik iaitu menu nasi kukus ayam berempah berharga RM6, nasi ayam penyet (RM6) dan chicken chop RM.
Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian +601110187127. – MalaysiaGazette