Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Malaysia yang kini berdepan dengan krisis kesihatan memerlukan kerjasama rakyat untuk bersatu hati.

Untuk bersatu hati, rakyat memerlukan kepimpinan, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Menurut veteran UMNO itu, kepimpinan tidak terbentuk melalui melalui temubual media massa atau perutusan khas melalui kaca televisyen atau radi sebaliknya terbentuk daripada keberanian dan kebijaksanaan.

Katanya, tidak mungkin pemimpin agung seorang diri mampu memberi keyakinan kepada kumpulan teramai rakyat tetapi pasukan yang membantu pemimpin itu juga penting terdiri dari mereka yang mampu meningkatkan secara kolektif keyakinan itu.

Shahrir berkata, meskipun Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun, ber’tai-chi’ untuk cuba memberi alasan yang lebih munasabah dari ‘data dan sains’ mengapa Dewan Rakyat tidak harus bersidang namun begitu, hujahan Azhar tidak mententeramkan keadaan.

Sebaliknya suara timbalannya. Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat sambutan yang lebih meluas dan positif.

Ini kerana, apa yang dituntut bukanlah pemansuhan darurat kerana kuasa-kuasa darurat boleih membantu perkhidmatan kesihatan awam untuk mengatasi wabak yang melanda negara, termasuklah juga penangguhan pilihanraya kecil untuk mengelakkan peningkatan kes jangkitan.

Walaupun sudah banyak negara yang masih meneruskan pilihan raya masing-masing tetapi ianya tidak menjadi tuntutan atau desakan dari parti-parti politik.

”Jadi, yang pertama ialah untuk Dewan Rakyat bersidang untuk menyatukan hati semua peringkat rakyat dalam ‘perang’ kita terhadap wabak Covid ini.
Yang kedua, ialah sepatutnya semasa darurat ini, Jemaah Menteri Tan Sri Muhyiddin tidak perlu begitu besar.

”Saiznya tidak melihatkan sebuah pasukan yang benar-benar mempunyai fokus kepada krisis yang dihadapi negara pada masa kini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kalau awal-awal Muhyiddin telah membentuk suatu pasukan terdiri dari pemimpin politik yang memiliki kredibiliti serta tokoh-tokoh dalam bidang kesihatan dan ekonomi, akan jelas Perintah Darurat adalah untuk menyelamatkan negara semasa krisis kesihatan dan selepasnya.

Namun, hakikatnya, semasa krisis besar yang dihadapi negara hari ini, rakyat masih mencari-cari kepada kepimpinan yang berkemampuan menyelamatkan negara.

”Menyelamatkan negara semasa ini dan selepas ini,” tekannya lagi. – MalaysiaGazette