Ahmad Yakub

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan memperuntuk sebanyak RM2.7 juta sebagai bantuan kepada golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu menerima RM60,000 yang akan diselaraskan melalui 45 Pusat Khidmat DUN.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sepanjang tempoh pandemik itu, kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan bayaran cukai tanah semasa sehingga 31 Disember ini.

Katanya, kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) sebanyak RM40 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam kelmarin.

“Pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara ketika ini.

“Susulan itu juga, kerajaan negeri bersetuju memperuntukan RM2.7 juta menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 sebagai insentif bantuan kepada rakyat dalam tempoh PKP 3.0 ini,” katanya menerusi kenyataan kepada media semalam.

Beliau berkata, sebagai tanda sokongan kepada usaha itu, sebanyak RM15,000 daripada Menteri Besar dan RM10,000 setiap Exco kerajaan negeri akan disumbangkan kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan pula, masing-masing menyumbangkan RM3,000, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad juga menyeru rakyat Kelantan segera mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan menjalankan tugas. – MalaysiaGazette