Tangkap layar menunjukkan sekumpulan wanita membawa bagasi menaiki beberapa buah kereta di Bukit Kecil, Bayan Lepas.

BALIK PULAU – Tiada laporan diterima setakat ini berhubung penduduk lari meninggalkan kediaman sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Mukim 12 Daerah Barat Daya di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan mengesahkan perkara itu ketika diminta mengulas dakwaan satu rakaman video tular menunjukkan sekumpulan individu ‘melarikan’ diri susulan PKPD dikuatkuasakan bermula 12 tengah malam ini.

Anbalagan.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung dakwaan itu.

“Pasukan pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan melakukan rondaan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada kejadian sebegitu berlaku,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi sembilan saat menunjukkan sekumpulan wanita berpakaian baju tidur membawa bagasi menaiki beberapa buah kereta.

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan wanita membawa bagasi menaiki beberapa buah kereta di Bukit Kecil semalam.

Dalam perkembangan sama, Anbalagan berkata, sebanyak dua sekatan jalan raya (SJR) secara statik akan ditempatkan di dua lokasi yang terbabit dengan PKPD berkenaan.

“SJR terbabit akan ditempatkan di Jalan Kampung Bukit dan Jalan Dato Ismail Hashim, di sini.

“Penugasan itu adalah bagi mengekang penularan Covid-19 dan orang ramai dinasihati mematuhi garis panduan yang sudah ditetapkan selain arahan semasa PDRM ,” katanya.

Peta menunjukkan lokasi SJR di PKPD Mukim 12, Bayan Lepas di sini.

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataannya berkata, PKPD di sekitar Bayan Lepas itu membabitkan kira-kira 10,000 penduduk di 13 lokasi Mukim 12 Daerah Barat Daya, di berkuatkuasa 4 hingga 17 Jun ini.

Lokasi itu ialah Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai dan Bayan Tiara.

Turut terbabit ialah Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit. – MalaysiaGazette