Foto Facebook Football Association of Malaysia (FAM).

KUALA LUMPUR – Kekalahan memalukan skuad kebangsaan  0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE pagi tadi menyaksikan pemain naturalisasi Malaysia menjadi sasaran kemarahan penyokong Harimau Malaya.

Paling ketara, penyerang, Guilherme de Paula yang rata-rata dikecam netizen dan didakwa gagal mencapai standard sebagai pemain naturalisasi yang sebelum ini pernah bermain di luar negara.

Pemain kelahiran Brazil itu disifatkan ‘malas’ atas padang dan lebih banyak berlari-lari anak sepanjang permainan serta gagal memberi ancaman kepada benteng tuan rumah, berbanding pemain tempatan.

Malah peluang terbaik yang hadir pada minit ke-42 disia-siakan selepas tandukan De Paula ‘melalut’ dan tidak menuju ke arah pintu gol UAE.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga gagal mencipta sebarang percubaan tepat dalam perlawanan ini dan dua hanya melakukan satu percubaan sepanjang aksi.

Selain De Paula, 34, Malaysia juga menyenaraikan Liridon Krasniqi dalam kesebelasan utama, manakala seorang lagi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang sudah lama bersama skuad kebangsaan menunjukkan prestasi agak baik.

Kekalahan ketiga dalam selepas enam perlawanan kini meletakkan Harimau Malaya di tangga keempat Kumpulan G dengan berkongsi sembilan mata bersama UAE dan Thailand, yang seri 2-2 dengan Indonesia dalam satu lagi perlawanan.

Malaysia akan berdepan pendahulu kumpulan, Vietnam pada 12 Jun ini, diikuti Thailand dalam perlawanan terakhir empat hari kemudian.

Pasukan negara perlu menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast