Dr Mujahid Yusuf Rawa
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Sandaran bahawa para Sultan adalah bayangan kepada Allah adalah satu kemulian jika ‘tanggungjawab’ itu dilaksanakan dengan sifat amanah, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, perumpamaan Sultan bayangan Allah itu jelas diturunkan Maha Pencipta dalam Surah Al-Nahlu ayat ke-90.

“Bayangan Allah adalah kiasan bahawa Sultan atau pemerintah tidak boleh melakukan kekejian dan kemungkaran serta melampaui batas (surah al-Nahlu: 90).

“Sandaran kepada bayangan Allah sebagai satu kemuliaan jika ia dilaksanakan dengan sifat amanah dan sebaliknya satu kekesalan jika mengkhianati amanah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam berjudul ‘Larangan Menghina Sultan’.

Kenyataan Jakim itu mendapat perhatian apabila orang ramai mendakwa ia adalah hadis daif dan tidak wajar dipaparkan kepada umum.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyelar tindakan sesetengah pihak mengenai hadis Sultan sebagai bayangan Allah di muka bumi ini.

Menurut beliau, perkara itu perlu difahami sebelum apa-apa persepsi dibuat.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, walaupun hadis ini berstatus ‘daif’ dari sudut istilah disiplin ulum al hadis namun ia boleh dipakai daripada aspek galakan.

“Kata nasihat, teguran dan amaran dalam bab Fadhail al A’mal. Namun para pakar rujuk ilmu hadis seperti ibn Daqiq al Aid (1228 m-1302 m) dan Ibn Hajar al Asqalani ( 1372 m-1449 m) meletakkan tiga syarat iaitu, ia bukan hadis maudhu (direka-reka), tidak bercanggah dengan prinsip syariat secara keseluruhan (al kulliy) dan tidak sampai ke tahap meyakininya sebagai wajib(thubut),” jelas Mujahid lagi.

Hadis dari Abi Bakrah RA katanya, ditujukan kepada pemerintah sebagai teguran keras bahawa mereka perlu menegakkan keadilan, berbuat baik dan menolong mereka yang memerlukan.

Dr Zulkifli sebelum ini menjelaskan berdasarkan al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir, bayangan Sultan adalah Allah itu lebih membawa maksud seperti tempat berteduh dan perumpamaan teduhan apabila pemerintah itu memerintah dengan adil. – MalaysiaGazette