S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Selain pandemik Covid-19 yang mengundang kebimbangan masyarakat India kini adalah kematian dalam tahanan polis.

Ia termasuk kes terbaharu melibatkan seorang India Muslim ketika menjadi tahanan polis Klang, kata Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“Apa yang terjadi semalam, seorang tahanan yang mati dengan cara melompat dari tingkat sehingga menyebabkan dirinya maut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Malah ini bukan kes kematian dalam tahanan yang pertama kali bukan begitu?

“Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Persoalan demi persoalan sedang timbul ketika ini. Polis tidak boleh sesekali menyalahkan umum mahu pun ahli politik yang menyoal atau menggunakan isu ini sebagai agenda pada masa ini lagi-lagi kes kematian dalam tahanan kerana perkara ini sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Macam-macam dalam fikiran keluarga mangsa bagaimanakah cara tahanan itu mati, pelbagai spekulasi serta mimpi ngeri dan anda (polis) langsung tidak boleh menyalahkan mereka kerana polis perlu memikul tanggungjawab dengan apa yang terjadi dengan tahanan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Vigneswaran mengulas kematian Umar Faruq Abdullah @ Hemanathan yang berusia 36 tahun yang meninggal dunia ketika masih dalam tahanan polis di Klang Selatan semalam.

Balu mangsa, Humairah Abdullah @ Kannagi mendedahkan lima pegawai polis masuk ke rumahnya di Kuala Selangor semalam untuk menangkap Umar kelmarin.

Namun pada pukul 10 pagi semalam, Humairah dikatakan menerima panggilan daripada polis untuk membawa makanan kepada suaminya namun ketika sampai ke di Balai Polis Daerah Klang Selatan, dia dimaklumkan suaminya sudah meninggal dunia selepas melompat dan jatuh bangunan.

Kata Vigneswaran lagi, ‘alasan’ yang diberikan bagaimana Umar meninggal dunia sebenarnya menimbulkan pelbagai persoalan bagaimana seseorang boleh mati begitu sahaja tanpa kawalan keselamatan.

“Pihak berkuasa tidak sepatutnya melompat dan marah jika umum bertanya itu dan ini, dalam kes Umar ini, mungkin kematian dengan cara tahanan melompat bangunan sehingga jatuh dan maut ini dapat dielakkan jika ada beberapa polis mengawalnya bukan begitu?

Justeru beliau memohon Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah untuk tampil dengan garis panduan lebih ketat dalam menangani kes tahanan mati kerana mendakwa ia akan mengundang suasana kucar kacir.

Dalam pada itu, kata Vigneswaran lagi, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam masa terdekat bagi perkara yang sama.

“Saya sangat percaya dengan instuisi kepolisan dan juga percaya tidak mungkin berlakunya sesuatu yang salah berlaku sehingga menyebabkan kematian mangsa dalam tahanan polis tetapi persepsi umum bukan begitu lagi. Sesuatu perlu dilakukan dan ianya satu keperluan mendesak,” katanya.

Kematian Umar bukan yang terbaru melibatkan kematian dalam tahanan sebaliknya menurut laporan media, pada tahun 2017, G. Ganeshwaran meninggal dunia di hospital setelah mengadu masalah perubatan semasa disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

EDICT kecewa berlaku lagi kematian tahanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast