Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Hala tuju Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam tempoh 10 tahun dibentuk menerusi Pelan Strategik 2020 – 2030: Kelestarian Alam Sekitar yang berpandukan tiga kerangka utama.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan itu merangkumi Rancangan Malaysia yang meliputi agenda kerajaan, dasar semasa kerajaan dan juga agenda pembangunan mampan negara melalui Sustainable Development Goals (SDG).

Jelasnya, pelan yang sama penting dalam menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai visi dan misi KASA sekaligus mencapai matlamat negara.

“Pelan Strategi KASA 2020 – 2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia yang merupakan sebuah usahasama yang proaktif oleh semua warga KASA dan agensi-agensi di bawahnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 secara dalam talian hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 yang bertemakan pemulihan ekosistem, UN Environment Programme atau UNEP, pihaknya telah melancarkan The UN Decade on Ecosystem Restoration 2021 – 2030.

Inisiatif itu dilancarkan sebagai kolaborasi bersama peringkat global bagi menangani dan melaksanakan usaha pemulihan ekosistem.

“Pemulihan ekosistem ini menuntut kita untuk memastikan tempoh 10 tahun ini digembleng sepenuhnya bagi menghadapi krisis ekosistem yang semakin mencabar.

“Bagaimana kita dapat memastikan tumbuhan dan haiwan yang hampir pupus dapat dipulihkan untuk memastikan kita kekal mempunyai sumber makanan dan air yang bersih.

“Ini kerana hanya dengan ekosistem yang sihat, dapat meningkatkan kualiti hidup, menangani kesan perubahan iklim dan mencegah kehilangan biodiversiti,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut melancarkan buku Climate Change Adaptation Framework For Water Sectors yang telah dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Menurutnya, buku itu menggariskan kerangka berkaitan perancangan dan strategi pelaksanaan adaptasi perubahan iklim bagi pengurusan sumber air, perkhidmatan air dan bencana.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, semua perancangan dan strategi di dalam buku tersebut akan digunapakai dalam
penyediaan polisi dan pembangunan Pelan Adaptasi Nasional serta menjadi rujukan kepada semua pemegang taruh yang terlibat.

KASA katanya, akan terus menerajui usaha memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari dan Perjanjian Iklim Paris 2015 dengan pelbagai program seperti yang sedang dilaksanakan oleh NAHRIM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast