Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – PKR digesa agar lebih waspada untuk mengetengahkan mana-mana calon dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, parti perlu menolak calon-calon yang diragui kesetiannya kepada parti.

“Individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya dalam ucapan dasar AMK dalam Kongres Nasional tahunan AMK PKR 2020 secara maya hari ini.

Kongres AMK yang bertemakan ‘Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi’ itu rata-ratanya mencadangkan agar kepimpinan parti tidak mengangkat individu-individu yang dilihat akan memecahbelahkan gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Kerjasama dengan PPBM telah memberikan kita 1,001 pengajaran, tindakan mencurigakan umpama ‘sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau’ mestilah dijauhkan,” tegasnya.

PKR sebelum ini berpecah bermula di Kongres Nasional parti itu pada 2019 lalu.

Ia apabila bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Antara yang mengikuti langkah Azmin adalah 10 lagi Ahli Parlimen PKR iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Dalam pada itu, Akmal juga mencadangan agar PH untuk terus menggunakan logo PKR untuk PRU-15 akan datang.

“Bagi mengembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat, AMK Malaysia ingin mengusulkan agar bendera Keadilan menjadi logo mewakili PH,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, PH menggunakan logo PKR apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak meluluskan pendaftaran PH sebagai sebuah parti gabungan. – MalaysiaGazette