KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli yang sebelum ini bersikap negatif dalam isu vaksin menarik balik pendiriannya dan kini menyokong usaha kerajaan membendung penularan Covid-19.
“Sebelum ini saya bersikap negatif dalam isu vaksin tetapi berdasarkan situasi hari ini saya bersama kerajaan. Apabila direnung dan difikirkan kembali, kerajaan yang ada pada hari ini bertindak dan bertanggungjawab ke atas rakyat berdasarkan maslahat atau situasi yang berlaku kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kuliahnya secara atas talian kelmarin dan tular media sosial sejak semalam.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan pasti ada sebabnya tersendiri dan merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Disember lalu iaitu mengharuskan pengambilan vaksin.
“Pihak kerajaan menyampaikan cerita yang zahir saja yang di sebaliknya kita tak tahu, jadi dalam situasi ini saya menarik semula pendirian saya dengan bersama kerajaan. Melihat kepada orang ramai yang perlu dikuarantin, seperti orang tua dan kanak-kanak yang menunggu tanpa ada ubat, saya merasa kasihan,” katanya.
“Berdasarkan kaedah hukum yang kerajaan keluarkan, inilah hukum syarak, jika masih ada rakyat yang tidak mahu ambil itu terpulang kepada diri masing-masing,” ujarnya Muhd Zainul.
Menurut beliau, setiap perkara baharu pasti ada baik dan buruknya, namun kesan tidak bersama dengan jumhur itu lebih besar.
“Ada pun kerajaan pada hari ini adalah kerajaan yang lebih baik dari kerajaan yang sebelumnya, di mana yang sebelum ini kita hari-hari susah hati. Kerajaan yang ada ini kerajaan yang sah melalui undang-undang negara, saya mengajak kita semua berfikir dengan waras untuk kita bersama menangani isu Covid-19 ini,” katanya.
Beliau sentiasa merenung situasi yang berlaku ketika ini, justeru pendiriannya sebelum ini perlu berubah demi kemaslahatan ummah.
“Sebenarnya ubah pendirian ini bukanlah sesuatu benda yang salah, malah itulah yang terbaik berdasarkan situasi. Contoh seperti fatwa Imam Syafie, sewaktu di Iraq fatwanya lain, kemudian apabila di Mesir fatwanya lain berdasarkan penduduk setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Siapa tak nak sokong di hujungnya sebut …nasi nanti kebuluran tau.