Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 jenis surat kebenaran dari agensi dan kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diterima pakai dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) seluruh negara mulai esok.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyenaraikan kesemua jenis surat berkenaan sebagai dokumen yang dibenarkan menyokong hasrat kerajaan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebagai agensi bertanggungjawab yang menguatkuasakan SJR, pihaknya diarah menerima surat pengesahan daripada kementerian atau agensi disenaraikan sahaja bagi membolehkan individu bergerak dari kediaman ke tempat kerja bagi sektor-sektor dibenarkan beroperasi.

Senarai surat kebenaran agensi kementerian yang diterima pakai adalah:-

1.1) Surat kebenaran dari MITI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan;

1.2) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan;

1.3) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi sektor pertanian /perikanan / penternakan/perladangan dan komoditi. Mafi hanya akan mengeluarkan surat Pengesahan kepada pekebun kecil. Bagi yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0));

1.4. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi seperti kelapa sawit/getah atau sebagainya. Bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh mpic atau lgm. Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan surat pengesahan akan dikeluarkan oleh miti (cims 3.0);

1.5. Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor institusi kewangan/insurans;

1.6. Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urusniaga saham;

1.7. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil/penjaja gerai makanan/food truck. Pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi surat pengesahan akan dikeluarkan oleh miti (cims 3.0);

1.8. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi/media/pos/kurier dan penyiaran;

1.9. Kementerian Dalam Negeri (KDN) Semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi – agensi yang berada di bawahnya seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya akan diterima pakai bagi kebenaran pergerakan; dan

1.10. PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah peraturan rentas sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.

“Semua dokumen pengesahan seperti disenaraikan hendaklah bertarikh mulai 1 Jun 2021.

“Pihak yang tiada sebarang dokumen yang sah seperti di para 1 (10 jenis) atau telah tamat tempoh iaitu sebelum 1 Jun 2021 akan diarahkan berpatah balik,” katanya dalam kenyataaan media malam tadi.

Malah ujarnya, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara one off.

Menurut beliau, bagi pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu untuk ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois pembayaran gaji dan sebagainya, kebenaran PDRM hanya akan diberi secara one off iaitu bagi tempoh dua atau tiga hari sahaja dan surat pengesahan majikan perlu dikemukakan sebagai bukti.

“Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui MITI (CIMS 3.0).

“Bagi pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes-kes yang baharu (reman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

“Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu, akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“PDRM juga memohon masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak covid-19,” katanya,

Sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran SOP PKP, salurkan melalui malaysian government call centre (mygcc) di talian 03-8000 8000, atau melalui emel ke [email protected] / [email protected] MalaysiaGazette