Zulhelmi Mansor

KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) menggesa kerajaan mempertimbangkan agar penunggang p-hailing di negara ini diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya, Zulhelmi Mansor berkata, walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiktiraf penunggang p-hailing sebagai petugas barisan hadapan namun sehingga kini nasib mereka masih diabaikan walaupun pandemik itu kini memasuki gelombang ketiga.

“Penunggang p-hailing masih tidak disenaraikan sebagai penerima vaksin yang diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan, sedangkan mereka ini juga tidak terlepas daripada bahaya Covid-19 ketika bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Tugasan seharian mereka bukan sahaja kerap berada di lokasi zon merah malah perlu berjumpa ramai pelanggan yang tidak diketahui latar belakang kesihatannya, apatah lagi kontak rapat pesakit Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, PENGHANTAR turut melahirkan rasa kecewa apabila penunggang p-hailing tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan PEMERKASA + yang telah diumumkanĀ Perdana Menteri pada 31 Mei lalu.

“Ini adalah kali ketiga penunggang p-hailing diketepikan daripada senarai penerima. Walaupun mereka tetap meneruskan tugasan seperti biasa, namun mereka juga terkesan pandemik ini,” katanya.

Susulan itu, berlaku lambakan penghantar apabila banyak sektor tidak dibenarkan beroperasi hingga menjejaskan pendapatan mereka, lebih-lebih lagi operasi premis perniagaan dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

“Sektor e-hailing yang membenarkan pemandu mengambil pesanan makanan dan barang keperluan turut menjejas pendapatan penunggang p-hailing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette