- Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) memandang serius isu kekosongan jawatan naib canselor di lima universiti di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) memandang serius isu kekosongan jawatan naib canselor di lima universiti di negara ini.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus bertindak segera mengisi kekosongan itu memandangkan ia melibatkan soal kepemimpinan dan tadbir urus.

Katanya, jika KPT melengahkan pelantikan, ia akan memberi kesan secara langsung kepada operasi dan pencapaian universiti awam itu.

“Naib canselor adalah jawatan tertinggi yang sangat penting dalam sebuah institusi pendidikan tinggi khususnya universiti.

“Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), seseorang naib canselor hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan bertanggungjawab bagi keseluruhan fungsi pentadbiran, akademik dan pengurusan serta hal ehwal universiti.

“Selain itu, naib canselor juga hendaklah menjalankan pengawasan am ke atas semua aktiviti pengajaran, penyelidikan, kewangan, pentadbiran, kebajikan dan aspek tata tertib di universiti serta boleh menjalankan apa-apa kuasa lain sebagaimana diberikan kepadanya oleh AUKU dan mana-mana statut, kaedah dan peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Norzaini Azman

Beliau mengulas laporan media semalam yang memetik gesaan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin agar KPT melantik segera nNaib Canselor di lima universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Kekosongan jawatan itu membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Dr. Norzaini, berdasarkan AUKU, seseorang Naib Canselor hendaklah dilantik oleh Menteri atas nasihat jawatankuasa carian yang dilantik di bawah Seksyen 4A, AUKU dan selepas berunding dengan Lembaga Universiti.

Ujar beliau, jawatankuasa khas itu bertujuan mengenal pasti, menemubual serta mencadangkan senarai pendek calon yang berkelayakan untuk dilantik malah senarai calon pula dikenal pasti melalui profiling yang disediakan oleh pihak Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) serta pencalonan lain oleh pihak berkepentingan.

“Prosedur pemilihan dan pelantikan Naib Canselor UA di Malaysia telah disediakan KPT. Secara umumnya, terdapat persamaan dalam prosedur di Malaysia dengan prosedur di universiti terkemuka dari segi kelayakan calon, jawatankuasa pencarian dan pemilihan.

“Namun, satu perbezaan ketara adalah dari segi tempoh perkhidmatan (lebih pendek di Malaysia) dan kuasa mutlak Menteri yang termaktub dalam AUKU.

“Jika dilihat secara mata kasar, proses pemilihan dan pelantikan Naib Canselor di Malaysia adalah telus berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kemampuan pemimpin untuk meningkatkan kecemerlangan UA,” katanya.

Beliau berkata, antara kriteria pelantikan naib canselor mengambil kira pelbagai aspek iaitu tiga kriteria menekankan aspek merit akademik dan kewibawaan, empat kriteria berkait dengan ciri kepimpinan pengurusan (kemahiran dan visi strategik, kepimpinan nasional, berfikiran kritikal dan kritis’ dan kompetensi penjanaan kewangan atau cerdik perniagaan).

Tiga kriteria lain, katanya, berkait dengan integriti, sikap keterbukaan politik dan kesepadanan kewibawaan dengan kategori dan bidang tujahan universiti.

Justeru, menurut beliau, pelantikan berasaskan kriteria merit dapat memastikan naib canselor yang dipilih mempunyai kewibawaan di mata ahli akademik, pelajar dan pihak berkepentingan universiti termasuk dalam kalangan pemimpin universiti dunia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

CUEPACS gesa KPT lantik segera naib canselor 5 universiti awam