Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa segera melantik Naib Canselor baharu di lima buah universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa segera melantik Naib Canselor baharu di lima buah universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Kelima-lima universiti awam tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS),  Abdul Rahman Mohd Nordin, kelewatan kerajaan membuat lantikan untuk mengisi jawatan tersebut boleh menjejaskan operasi pentadbiran.

Dalam masa yang sama katanya, hala tuju universiti-universiti itu juga akan terkesan.

“Kelompangan pada barisan pengurusan kanan juga boleh menyebabkan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi itu tidak dapat diterokai sepenuhnya terutama ketika negara sedang mengalami pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, apabila jawatan naib canselor itu dikosongkan biasanya timbalan naib canselor akan menjalankan tugas sebagai naib canselor untuk beberapa tempoh tertentu.

Bagaimanapun jelas Abdul Rahman, CUEPACS berpandangan kekosongan yang terlalu lama bagi jawatan nombor itu dengan hanya dipangku oleh timbalan naib canselor boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti.

“Walaupun timbalan naib canselor yang menjalankan tugas  itu individu yang berpengalaman, sudah tentu terdapat beberapa kekangan yang menghalang beliau daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

“Hal-hal kebajikan kakitangan terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan,” tambahnya.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dapat mempertimbangkan perkara ini dengan segera.-MalaysiaGazette