KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, Tajuddin dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500.00 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini .
Pada 26 Mei lalu, polis memulakan siasatan terhadap Tajuddin yang didakwa tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren LRT pada hari sebelumnya.
Siasatan dijalankan ke atas video yang tular di media sosial menunjukkan bekas Pengerusi Prasarana itu tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan berkenaan.
Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.
Sementara itu, Mohamad Zainal menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19. – MalaysiaGazette