KUALA LUMPUR – Seorang pemilik restoran steamboat didakwa menerima rasuah sebanyak RM7,000 sebagai dorongan mempercepatkan proses pembayaran insentif daripada sebuah syarikat minuman keras tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, tertuduh, Cheah Yew Chuen yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Azura Alwi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Yew Chuen didakwa menerima rasuah sebanyak RM7,000 daripada seorang individu yang mewakili sebuah premis Pub & Cafe yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di Jalan Ipoh Rivercity pada 27 November 2018.

Suapan itu bagi tertuduh mempercepatkan pembayaran insentif sebuah syarikat minuman keras berjumlah RM100,000 kepada premis tersebut.

Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding hari ini, pendakwaan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin memohon jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh termasuk syarat tambahan yang mana tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM.

Namun peguam bela mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan tersebut memandangkan Yew Chuen menghidapi sakit gout yang memerlukan rawatan.

Kata Rajsurian Pillai, anak guamnya telah memberi kerjasama cukup baik ketika siasatan dan memohon mahkamah mempertimbangkan permohonan itu.

Azura Alwi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Hakim itu menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan kes itu dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette