BUAT masa ini, rakyat rasa cemas dan bimbang dengan peningkatan kes yg mendadak sejak akhir-akhir ini. Kes tidak turun dan berlegar di antara 6000- 8000 sehari dalam beberapa minggu yang lepas. Pada 2 Jun 2021, Malaysia mencatatkan jumlah kemataian tertinggi iaitu sebanyak 126 orang. Keadaan ini memberi tekanan kepada pihak kerajaan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi supaya tahap 70-80 % jumlah penduduk Malaysia mendapat suntikan vaksin terlaksana, seterusnya menghasilkan immuniti kelompok yang boleh memutuskan rantaian Covid-19.
Kadar vaksinasi baru-baru ini masih tidak memuaskan di mana kurang daripada 3% rakyat Malaysia telah mendapat vaksin sekarang. Kerajaan bertegas dan akan cuba sedaya upaya dengan mensasarkan tercapainya imuniti kelompok pada hujung tahun 2021. Memang banyak cara dan cadangan ke arah meningkat kan kadar vaksinasi ini. Antaranya, ramai pakar kesihatan telah mencadangkan supaya membawa vaksin ke tempat mereka iaitu ke pendalaman merupakan cara yang efektif. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan van, truk, lori atau bas ke pedalaman untuk “mencari” penerima vaksin.Cara ni sangat wajar kerana ramai di pendalaman mempunyai masalah pengangkutan. Cabaran ini menjadi lebih sukar terutama di Sabah, Sarawak dan sebahagian kawasan terpencil di pendalaman di Semenanjung Malaysia seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Oleh itu kita perlu mengenalpasti kawasan mana yang paling diperlukan. Ini adalah kerana bukan semua kawasan boleh dicapai disebabkan cabaran menghubungi kawasan tersebut. Di samping itu jumlah kakitangan yang optimum perlu di fikirkan bagi memastikan kelancaran program vaksinasi. Juga pemilihan jenis vaksin yang tidak memerlukan suhu terendah perlu diambilkira supaya vaksin kekal dalam rantaian “cold chain” yang wajib dilaksanakan.
Paling bagus jika kawasan pendalaman yang ingin ditujui mempunyai ramai penduduknya supaya tidak berlaku pembaziran dari segi masa dan tenaga. Contohnya adalah lebih baik program dilaksanakan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai contohnya lebih daripada seratus berbanding hanya 50 orang dalam satu-satu masa.
Paling elok sekiranya ada juga kemudahan dewan atau balai raya di tempat yang dikunjungi bagi memudahkan pemberian vaksin dengan lebih sistematik dan selesa. Dewasa ini, kebanyakkan tempat sudahpun mempunyai fasiliti berkenaan disebabkan tadbir urus yang sempurna dilakukan oleh ketua kampung dan ahli politik di kawasan terbabit.
Penggunaan masjid, surau, dan tempat ibadah yang lain juga antara alternatif yang baik untuk menjadi pusat pemberian vaksin sejurus “klinik vaksin bergerak” telah sampai di tempat mereka. Selain daripada itu pemilihan jenis kenderaan yang sesuai perlu difikirkan kerana bukan semua kenderaan boleh masuk ke daerah yang terpencil dan mempunyai jalan yang sempit. Kawasan ini, lebih elok mengunakan lori yang kecil untuk ke tempat tersebut. Kos tersembunyi juga perlu diambil kira apabila penggunaan kenderaan untuk ke luar bandar dipersetujui. Kos tersebut termasuk kos penyelenggaraan, minyak dan sebarang kerosakkan yang bakal terjadi.
Dengan memurnikan program sediada yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, program membawa vaksin ke tempat mereka boleh dilaksanakan. Contohnya pemberian vaksin kepada orang asli di pedalaman yang disarankan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar baru-baru ini adalah antara strategi sedia ada yang wajar ditambahbaik.
Usaha kerajaan menjadikan klinik swasta/GP/ hospital juga antara cadangan yang baik. Sudah semestinya jarngan klinik swasta yang ada di kawasan pendalaman boleh dijadikan tempat pemberian vaksin bagi memastikan liputan orangramai dapat dicapai. Pendekatan mengunakan modus operandi pilihanraya seperti menjadikan sekolah dan dewan awam
di seluruh Malaysia untuk menjadi pusat pemberian vaksin antara langkah yang perlu difikirkan
Ini dipermudahkan lagi dengan penutupan sekolah buat masa ini yang membolehkan aktiviti pemberian vaksin menjadi lebih senang. Walau bagaimanapun apa jua cara yang akan dilaksanakan perkara berikut perlu diambil perhatian:
1. Memastikan bekalan vaksin cukup setiap masa. Pihak kerajaan perlu memastikan kecukupan vaksin dengan plan tidakan yang sebaik mungkin. Kekurangan bekalan vaksin yang diterima oleh kerajaan Malaysia ini antara penyebab mengapa kadar vaksinasi sekarang belum mencapai tahap yang memuaskan.
2.Memantapkan system pendaftaran – elakkan kekeliruan dan pastikan ia mesra pengguna. Buat masa ini pendaftaran melalui aplikasi mysejahtera adalah antara yang utama digunakan. Namun sedikit kemahiran IT perlu ada bagi menggunakan aplikasi tersebut. Oleh itu perlu difikirkan jalan alternatif kepada mereka yang kurang mahir atau mereka yang mempunyai masalah penglihatan, dan tidak biasa menggunakan telefon pintar.
Dalam hal ini peranan anak-anak adalah penting bagi memastikan penggunaan MySejahtera dapat dilaksanakan dengan lebih optimum. Menyedari kekangan ini, alternatif lain telahpun dilaksanakan oleh pihak kerajaan melalui pendafaran secara
manual terutama di luar bandar. Mereka juga boleh menghubungi talian hotline, mendaftar di klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta dan tempat-tempat lain yang disediakan oleh ketua kampung atau pihak berwajib di kawasan terbabit.
3. Memastikan mereka yang mendaftar, tidak culas kerana hal yang demikian akan merugikan disebabkan ada vaksin perlu dihabiskan pada hari yang sama. Mengenakan denda pada mereka yang tidak hadir mungkin langkah yang kurang wajar kerana mereka mungkin mempunyai alasan yang kukuh atas ketidakhadiran tersebut. Oleh itu pendidikan yang betul adalah penting bagi meningkatkan tahap kesedaran betapa pentingnya mereka perlu hadir bagi mendapatkan pelalian vaksin.
4. Memastikan rantaian “cold chain” berada di tahap optimum. Ini adalah kerana ada vaksin yang boleh rosak sekiranya tidak disimpan pada suhu yang optimum. Juga pemililhan vaksin yang hanya perlukan satu dos sahaja boleh diutamakan di kawasan pendalaman. Buat masa ini, jenis vaksin tersebut masih belum diterima oleh kerajaan Malasyia. Namun perancangan telahpun dilakukan bagi membawa masuk vaksin jenis ini.
5 Memastikan kakitangan perubatan dan sokongan cukup bagi melancarkan program vaksin secara menyeluruh. Ini dapat mengelakkan sistem menjadi lumpuh dek kepenatan dan keletihan mereka. Pengambilan sukarelawan antara langkah baik bagi membantu para pegawai kesihatan. Perkara ini telah pun dilaksana secara aktif oleh pihak tertentu dimana iklan telahpun dikeluarkan secara aktif bagi mencari sukarewalan bukan dalam bidang perubatan bagi membantu program vaksin besar-besaran.
6 Memastikan kes tidak mencanak lagi supaya sistem kesihatan dapat menampung dan merawat jumlah pesakit sedia ada yang telahpun mencapai tahap maksimun di hospital dan katil ICU. Perkara ini boleh menolong dari segi:
– memberi kerehatan kepada pegawai perubatan dan pegawai keselamatan, polis dan tentera yang menbuat sekatan jalanraya dan aktiviti penguatkuasaan yang melibatkan pengawasan ke atas SOP.
– memberi masa untuk sistem mendapat bekalan ubatan , oksigen dan kelengkapan PPE.
– Supaya perawatan optimum boleh diberi kepada pesakit di hospital apabila jumlah kes
menurun.
Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berperingkat disamping pendidikan
kesedaran yang berterusan diharap memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Semoga kaedah dan perbincangan ini dapat memberi sinar harapan supaya kita oleh menang melawan pandemik Covid-19. Perlaksanaan ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi, perlaksanaan mantap dan anggota yang ramai. Sistem juga perlu kukuh supaya perekodan tidak menjadi masalah.
Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A Rashid,
Pengarah Perubatan, Klinik Pakar Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).