Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama rantaian kumpulan kerjasama menghulurkan sumbangan kepada kumpulan pesakit Covid 19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan rantaian kumpulan kerjasamanya menghulurkan sumbangan kepada pesakit Covid 19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka baru-baru ini.

PKRC MITC menempatkan pesakit positif Covid tahap satu dan dua susulan daripada peningkatan kes yang mendadak sebelum ini.

Inisiatif dan semangat yang telah dizahirkan ini adalah selari dengan slogan “UTeM adalah Melaka dan Melaka adalah UTeM” yang mana pihak mereka sentiasa cakna dan prihatin dalam segenap perkara berkaitan demi kebaikan sejagat.

Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman berkata, program itu dijayakan menerusi kerjasama erat antara UTeM menerusi Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), PKRC MITC dan warga Melaka.

Jelasnya, gandingan erat ketiga-tiga pihak ini menzahirkan apa yang kami hasratkan mengumpulkan dana bersama seterusnya menghulurkan sumbangan agar dapat meringankan beban yang ditanggung oleh petugas dan pesakit Covid 19 di sini.

Ujarnya, sinergi yang sama turut memupuk semangat bantu-membantu sesama komuniti warga UTeM, intitusi kerajaan dan masyarakat terhadap mereka yang menjadi mangsa penularan pandemik.

“Sumbangan yang diberikan dalam bentuk makanan kering, air minuman, bahan bacaan seperti al Quran, buku, majalah, komik dan keperluan peribadi seperti sabun mandi, syampu dan ubat gigi di samping 3 unit alat pembesar suara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Md Nazri mewakili UTeM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu terutama kepada warga Melaka dan UTeM yang memberikan sumbangan dana dan pihak PKRC MITC.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM akan terus komited dalam menjayakan program yang memberikan kebaikan bersama ini kerana ianya selaras dengan konsep T.U.N.A.I iaitu Technology @ University Advancing Industry and Society yang menjadi amalan dan budaya pihaknya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast