KUALA LUMPUR – Yayasan Selangor menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran kepada 286 orang pelajar tajaannya yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2021.

Mereka hanya perlu membuat bayaran balik mulai bulan Januari 2022.

Inisiatif ini melibatkan jumlah pembiayaan sehingga RM1juta, kata Yayasan Selangor.

Sebelum ini, Yayasan Selangor telah memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Selangor semasa PKP 1.0 yang bermula pada 1 April hingga 30 September 2020 bagi tempoh enam bulan, yang mana penangguhan ini diberikan kepada peminjam aktif dengan tunggakan pinjaman tidak melebihi tiga bulan.

Kemudahan ini telah dimohon dan dinikmati oleh 204 orang peminjam pelajaran Yayasan Selangor yang melibatkan nilai pinjaman berjumlah RM286,000.00.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengumumkan perkara itu berkata, Yayasan Selangor akan membantu merancang semula bayaran balik pinjaman pelajaran 2,088 bekas pelajar tajaannya yang berada di dalam kategori peminjam aktif, tunggakan dan kes mahkamah.

Mana-mana peminjam yang terjejas pendapatan mereka (dengan sokongan bukti) sepanjang PKP3.0 boleh dipertimbangkan untuk diberi penangguhan bayaran balik sehingga 3 bulan bagi meringankan beban mereka.

Bagaimanapun, peminjam perlu menghubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan Yayasan Selangor untuk proses runding cara. – MalaysiaGazette