KUALA LUMPUR – Pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad tampil memohon maaf di atas kenyataan kontroversinya ‘buat bodoh-bodoh’ baru-baru ini.
Menurutnya, beliau mengambil tanggungjawab berbuat demikian ekoran salah faham yang timbul dan berterima kasih kepada semua yang mengambil berat isu tersebut.
“Untuk makluman hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan live di Facebook Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Februari 2021 bertajuk Antara Cinta dan Cita-Cita.
“Siaran live Bonda (Muhaya) tersebut bagi menjawab persoalan KK-Talib dan komen-komen dari Facebook berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.
“Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahanan dan sangkaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhaya berkata, beliau juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya maka sentiasa mendukung, mendoakan setiap wanita berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat redha Allah.
Tambahnya, mereka yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi tersebut perlu menonton sepenuhnya rakaman video tersebut.
Jelas beliau, jawapan mengenai persoalan kepada kontroversi itu hanya dapat difahami selepas itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: