Sebanyak tujuh lagi lokaliti di beberapa negeri diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dua lokaliti dilanjutkan manakala 32  ditamatkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baharu akan dilaksanaan di Sabah dan satu Kedah bermula Ahad ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat kawasan yang dikenakan perintah tersebut adalah Kampung Kadazan, Tawau; dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu; Taman Villa Felca Nambazan, Penampang dan Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Kelima-lima PKPD itu dilaksanakan ekoran 55 kes positif Covid-19 direkodkan sehingga kini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kelima-lima PKPD ini berkuatkuasa 13 Jun sehingga 26 Jun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD di UUM Sintok dibuat ekoran berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Malah kesemua pelajar di universiti itu kini diarahkan menjalani kuarantin dan dilarang unuk keluar daripada kampus masing-masing, ujarnya.

Dalam pada itu, lima PKPD ditamatkan mulai esok melibatkan Terengganu, Sarawak, Selangor, Johor dan Sabah.

Pelaksanaan PKPD di 19 daripada 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu ditamatkan selepas mencatatkan 461 kes positif Covid-19, PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam, Selangor pula mencatatkan 164 kes, PKPD di empat Rumah Panjang Ulu Sungai Sebakong dan Sungai Duan, Mukah, Sarawak dengan 56 kes, PKPD Taman Sinar Harapan, Tampoi, Johor Bharu dengan 110 kes dan PKPD di tiga  lokaliti di Tawau, Sabah dengan melibatkan 120 kes positif Covid-19.

Ismail Sabri memberitahu, seramai 828 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Daripada jumlah itu, seramai 759 individu dikompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah 103 merupakan kes tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka sebanyak 162 kes manakala 134 kes bagi kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis.

“Seramai 150 individu pula gagal merekodkan butiran diri atau mendaftar ketika memasuki premis, 86 kes tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, 85 kes kesalahan membawa penumpang berlebihan, 10 premis gagal mematuhi peraturan dan 21 lain-lain kes,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 28 Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dan sebanyak 169 buah bot turut dikesan di perairan negara. – MalaysiaGazette