Pelajar Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Izzah Khairina, 18 yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mendapat 8A 3B ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Bandar Baru Selayang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2021.

SAYA telah membaca suatu komentar bertajuk “Keputusan Luar Biasa SPM 2020 Timbulkan Persoalan”. Saya seorang ibu kepada anak Batch PROMAX yang baru menerima keputusan SPM. ALHAMDULILLAH, itu sahaja yang terungkap dibibir kami para ibu bapa, anak-anak, guru-guru, pentadbir sekolah, ahli Sarana Ibubapa, AJK PIBG dan warga Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi saya, keputusan luar biasa SPM 2020 ini adalah suatu kejayaan yang membanggakan buat semua rakyat Malaysia. Persoalannya sekarang, apakah rahsia kejayaan SPM 2020 yang terbaik dalam sejarah 5 tahun?

Sejak Covid-19 mula melanda Malaysia setahun lebih yang lalu, semua rakyat Malaysia, tidak kira status, jawatan, agama dan bangsa, kita semua mengalami perubahan dalam kehidupan yang ketara. Sebagai ibu kepada calon SPM 2020, pelbagai dugaan timbul untuk melepasi garisan penamat SPM2020. Memang benar sesi persekolahan ditutup selama 110 hari, dan anak-anak perlu membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran yang baharu, secara maya. Memang benar pembelajaran murid-murid berada dalam keadaan sukar, namun ia menjadi suatu cabaran yang telah dihadapi oleh semua pihak terlibat dengan penuh berhemah.

Sebagai mantan AJK PIBG dan Sarana Ibubapa di sebuah sekolah berasrama penuh, saya dan ibubapa yang lain telah sedaya upaya mengurangkan impak pandemik Covid-19 ke atas sesi pembelajaran dan kehidupan anak-anak di asrama. Semasa di asrama, mereka dilarang keluar kemana-mana, mereka ibarat didalam tempoh kuarantin selama mana mereka berada di asrama. Perasaan membuak-buak anak-anak untuk ‘Outing’ terpaksa
ditenangkan, perasaan untuk balik bermalam untuk bertemu ahli keluarga tersayang juga terpaksa ditangguhkan demi mengelakkan mereka dijangkiti penyakit yang boleh meragut nyawa.

Kami sentiasa berbincang dengan guru di sekolah apa yang boleh dibantu, kami kumpul wang untuk membeli kismis, madu, air zam-zam dan ‘makanan sedap’ setiap hujung minggu untuk menceriakan mereka yang terkurung di sana. Bagi ibubapa dan penjaga, mereka mengalami tempoh yang tidak menentu sehingga SPM 2020 tamat. Jika anak di asrama, mereka berulang alik ke balai polis untuk mengambil dan menghantar anak ke asrama, mengikut arahan dan SOP PKP, PKPB atau PKPP yang berkuatkuasa. Jika anak disekolah harian, mereka terpaksa berbaris lama untuk mengambil anak dari sekolah kerana SOP ketat pulang ke rumah.

Jika sesi pembelajaran dibuat secara dalam talian, ibu bapa berusaha menyediakan peranti, memastikan capaian Internet lancar, dan yang paling penting, menaikkan motivasi belajar anak-anak dalam suasana pembelajaran yang sukar. Bagi guru-guru yang menjadi barisan hadapan menjaga dan memelihara sebaik mungkin anak-anak dari terkena wabak yang melanda, pelbagai inisiatif dirangka bagi mengurangkan impak pembelajaran anak-anak. Kelas-kelas diatur agar silibus pelajaran dapat dikhatamkan.

Kelas atas talian dibuat sehingga waktu malam jika perlu. Latihan-latihan diberikan, disemak dan dibincangkan semula. Sesi latih tubi dilaksanakan sehingga SPM2020 bermula. Kumpulan whatsapp, telegram dan lain-lain diwujudkan bagi memudahkan komunikasi diantara guru, pelajar dan ibubapa dalam suasana norma baharu. Terima kasih guru-guru dan pentadbir sekolah, semoga kalian dirahmati dan dipermudahkan urusan.

Bagi warga Kementerian Pelajaran Malaysia, perubahan PKP ke PKPB ke PKPP ke PKP semula telah menyebabkan takwim peperiksaan diubah beberapa kali. Pasukan petugas pengawas peperiksaan ditingkatkan selaras pertambahan dewan atau bilik peperiksaan kerana jarak meja calon perlu dijauhkan mengikut SOP. Semua kertas jawapan pelajar didigitalkan untuk tujuan pemarkahan. Terima kasih kepada mereka kerana menyediakan apa sahaja untuk melancarkan perjalanan peperiksaan sewaktu pandemik.

Jadi, apakah rahsia sistem pendidikan pendidikan Malaysia yang terus cemerlang walaupun pandemik melanda? Jawapannya ialah usaha, doa dan tawakal yang berlipat kali ganda. Usaha yang diberikan oleh semua pihak untuk menjayakan SPM 2020 adalah sangat luar biasa. Kami yang terlibat secara langsung, dan rakyat Malaysia yang lain, tidak henti-henti berdoa (dan bagi yang Muslim, bertahajjud memohon pertolongan
Allah). Semua pihak mendoakan pengakhiran yang terbaik untuk Batch PROMAX.

Alhamdulillah, hasilnya telah diperoleh, keputusan luar biasa SPM 2020 adalah suatu kejayaan membanggakan buat semua rakyat Malaysia. Anak-anak Batch PROMAX adalah insan yang hebat kerana berjaya menghadapi SPM 2020 dalam tempoh yang
sukar. Kini rakyat Malaysia mendoakan agar calon-calon SPM 2021 dapat mengulangi kejayaan Batch PROMAX. InsyaAllah.

Oleh: Rasyikah Md Khalid
Pensyarah Fakulti Undang-undang UKM