Orang ramai beratur dan menunggu giliran pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR)Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Inisiatif trak vaksin bergerak atau  mobile vaccine truck dilaksanakan dengan sistematik dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengingatkan aspek penjarakan fizikal merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi bagi mengelak tercetusnya kluster baharu Covid-19.

“Saya nampak ada beberapa kelemahan yang mesti diperbaiki, ada perkara yang kita tidak boleh kompromi terutama sekali pematuhan dan penganjuran program vaksin secara mobile ini. Saya nak memastikan perkara ini ditambah baik.

“Ia termasuklah aspek penyusunan dan kawalan kepada kesesakan orang ramai. penjarakan fizikal tidak boleh dikompromi kita tidak mahu ada kluster vaksinasi,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 di Kampung Baru hari ini.

Turut hadir Menteri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Justeru Annuar berharap agar semua pihak terlibat saling bekerjasama antara satu sama lain bagi melaksanakan proses pemberian vaksin secara bergerak dengan tersusun.

“Pemerhatian saya hari ini kalau program yang bersifat bergerak, susunan tempat mesti dirancang baik-baik supaya penyusunan SOP dipatuhi pada tahap 100 peratus.

“Mula-mula saya sampai tadi saya nampak ada beberapa ketidakpatuhan jadi saya harap itu segera diberi perhatian dan diperbaiki. Tiap-tiap satu pusat banyak pihak kena bekerjasama.

“Jadi saya harap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), wakil kementerian, pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), persatuan penduduk, tolong susun atur supaya perkara ini dapat dibuat dengan patuh.

“Saya tidak mahu dengar ada aduan-aduan yang sepatutnya kita boleh elakkan,” tambahnya.

Inisiatif Trak Vaksin Bergerak bermula 7 Jun lalu yang menumpukan penduduk di sekitar ibu kota.

Usaha itu untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bagaimanapun, inisiatif itu,  kata Annuar masih dikategorikan sebagai projek perintis.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan untuk menyediakan 40 trak vaksin bergerak menjelang 15 Julai ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast