Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar beramah mesra bersama orang awam yang hadir untuk mengambil suntikan vaksin semasa meninjau suasana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2021.

KUALA SELANGOR – “Bila Selangor tinggi populasi penduduknya jadi kuota untuk menerima vaksin mesti tinggi.”

Itu kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa pemberian vaksin di negeri itu perlu seimbang dengan populasi rakyatnya.

Noh yang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, berdasarkan data, rakyat Selangor adalah yang paling ramai dijangkiti Covid-19.

Justeru, proses pemberian vaksin di negeri itu juga perlu disegerakan kepada seluruh rakyatnya supaya imuniti kelompok dapat dicapai.

“Saya memang bersetuju kita menjunjung kasih titak Sultan Selangor kerana saya pun telah bangkit dalam mesyuarat semalam kerana kerajaan tidak boleh bagi purata sama kerana kita lihat setiap negeri bilangan penerima berbeza,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas hadir untuk meninjau suasana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika di Stadium Tertutup Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2021.

Malah Noh turut mencadangkan agar PPV diwujudkan di 22 kawasan Parlimen di Selangor supaya dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sudah bersetuju untuk menambah kuota vaksin kepada Selangor dalam masa terdekat.

Jelasnya, Khairy memaklumkan perkara tersebut menerusi perbincangan yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Untuk rekod, pada 8 Jun yang lalu, Sultan Selangor telah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19 sehingga 1 Jun lalu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Baginda bertitah, nisbah jumlah pemberian dos vaksin itu tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di negeri ini yang berjumlah 6.5 juta.-MalaysiaGazette