TERLAJAK perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya. Tidak silaplah peribahasa ini sesuai untuk dikaitkan kepada sesiapa yang ‘terlepas cakap’ atau dengan kata lainnya
‘cakap sedap mulut saja.’ Ingatan ini sesuai dijadikan pengajaran kepada sesiapa pun terutamanya influencer, pemimpin negara, tokoh, agamawan dan selebriti. Pendek kata, semua yang ada pengikut, tidak kira di medium mana pun. Sebagaimana maksud peribahasa itu, setiap kita perlu berhati-hati apabila bercakap kerana ditakuti akan menyinggung perasaan orang lain.
Sering kali ketika berbicara, tidaklah seseorang itu berniat atau sedar akan membuatkan
orang lain tersinggung. Namun, kalau sudah terlepas cakap, padah akibatnya. Boleh jadi ada sahaja yang mampu menerima dengan sebaiknya apa yang dikatakan seseorang itu. Namun, tentunya tidak semua manusia ini sisi pandangnya sama. Normalnya manusia punya rasa dan pandangan yang sukar dimengertikan, apalagi jika sesuatu ucapan yang disampaikan seseorang itu yang bersifat menyentuh peribadi.
Hati netizen terguris lagi
Suka saya kongsikan pandangan netizen berikutan isu yang berlegar di media sosial
semalam berkaitan video ucapan seorang ternama berkaitan wanita dan jodoh. Ia turut mendapat reaksi spontan pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr Harlina Halizah Siraj selepas selesai menonton video tersebut. “Dr Har rasa kaget, terkejut besar dan kecewa bercampur-baur dengan apa yang dinyatakan. Dr Har memahami mengapa ramai warga netizen yang turut merasa terkilan.”
Malahan menurutnya lagi, pastinya ada yang tersinggung, terguris dan berkecil hati
khususnya bila aspek sensitif seperti jodoh disentuh secara langsung, tanpa berlapik dan
berselindung. Beliau yang juga pengasas Akademi Dr Har menerusi status Facebooknya sangat berharap agar kita semua lebih berhati-hati apabila menyentuh aspek jodoh pertemuan dan tidak mudah menyalahkan faktor-faktor yang sangat variable seperti karakter, personaliti dan jangkaan seseorang semata-mata.
Seorang aktivis yang juga peguam, Puan Fadhlina Sidek di statusnya berkata, “I don't do bodoh-bodoh sikit to get a husband.” Sebelumnya beliau turut mengingatkan, dalam unjuran syariat, pemilihan jodoh adalah dengan keutamaan agama, keturunan, harta, kafaah (kemampuan). Tidak ada anjuran bodoh-bodoh sikit.
“Minta maaf. Tapi mak Saya tidak pernah ajar saya untuk jadi perempuan bodoh-bodoh sikit. Mak saya suruh jadi pandai sepandai-pandainya. Suami saya pun didik anak perempuan saya jadi perempuan pandai.”
Lagi menarik pada status Cik Puan Azzah Abdul Rahman yang telah dipadam oleh
Facebook dengan peringatan “Your post goes against our Community Standards on hate
speech”. “Bukan kita tidak faham hal yang dimaksudkan. Kita tidaklah terlalu bodoh. Tetapi kata-kata itu menyakiti dengan beberapa cara.”
Sebenarnya, status beliau sangat menarik untuk saya kongsikan, namun ia telah dipadam
oleh FB dan Cik Puan Azzah berkata pada statusnya yang lain: “Ke mana hilangnya post tadi? Ke sini. Hate speech katanya. Hebat, troopers.” Boleh jadi, begitulah kuasa viral yang dilawan oleh troopers. Namun, pengajaran besar dengan situasi yang terbuat oleh seorang ternama ini perlu dihayati dan dipeduli.
Maka, disarankan juga supaya menggunakan bahasa Melayu standard untuk lebih selamat. Boleh jadi, ketika menggunakan loghat atau dialek atau ‘term-term’ tertentu, untuk sesebuah negeri yang lain berbeza sekali maksudnya.
Tolong jangan ulangi lagi!
Siapa pun diri kita, beringatlah sebelum berkata-kata agar ‘pisang tak berbuah dua kali.’
Teguran yang tegas, berisi dan berhikmah daripada seorang perempuan yang sangat saya
hormati Dr Harlina ini, seharusnya sesiapa pun dapat ambil iktibarnya, agar perkara yang
sama tidak berulang lagi. Apa yang penting, walau bagaimana bagus dan ramai pengikut sekalipun, jika sesuatu yang ingin disampaikan itu bukanlah bidang atau ahli dalam perkara itu, berusahalah tutup mulut daripada memperkatakannya di khalayak.
Barangkali boleh saja menyampaikannya dalam lingkungan sendiri, namun tetaplah berhati-hati agar ia tidak menjadi tular dan mendapat kecaman masyarakat. Tidak terkecuali, kata-kata itu laju berlegar di media sosial sedari semalam. Marah, geram
dan pelbagai rasa netizen dapat disaksikan, bahkan menjadi sindiran juga sarkastik.
Sebelum ini juga, netizen telah bangkit menyatakan tidak setuju mereka. Telah saya tuliskan pada Januari lalu dengan tajuk ‘Serahkan kepada yang ahlinya’, suka saya kongsikan tentang ini.
Dalam buku Falsafah Ilmu yang ditulis oleh S. Suriasumantri (1998) mengatakan: Suatu ketika seorang masyarakat awam bertanya kepada seorang ahli falsafah yang bijak,
"Beritahu saya berapa banyak orang yang ada dalam hidup ini berdasarkan
pengetahuannya?"
Ahli falsafah itu menarik nafas panjang dan melaungkan:
“Ada orang yang tahu dirinya tahu.
Ada orang yang tahu dirinya tidak tahu.
Ada orang yang tidak tahu dirinya tahu.
Ada orang yang tidak tahu dirinya tidak tahu.”
Kata-kata ahli falsafah di atas jika boleh diterjemahkan ke dalam bahasa yang mudahnya,
adalah seperti berikut: “Ada orang yang memahami mengikut pengetahuan mereka, ada orang yang merasa mereka memahami walaupun mereka tidak mempunyai pengetahuan atau pengetahuan mereka salah, ada orang yang gagal memahami pengetahuan mereka, dan ada orang yang gagal memahami kerana mereka kekurangan pengetahuan”.
Demikianlah, janganlah memandai-mandai dalam sesuatu hal yang bukan bidang kita.
Jadi, kena fikir bersungguh-sungguhlah sebelum berkata sesuatu, apatah lagi kita pada
zaman yang serba moden, laju dan kuasa tular menjadi ‘makanan’ harian netizen.
Sebagaimana yang pernah saya tuliskan di bawah tajuk ‘Waspada dengan kuasa 'viral'
Ketentuan yang tidak boleh dinafi
Rezeki, jodoh, ajal itu telah jelas sebagai rahsia Allah. Maka, apa lagi yang ingin kita
‘memandai-mandai’ mengatakan tentangnya. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan
Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seorang daripada kamu dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah (bersatunya sperma dengan ovum), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) seperti itu pula, kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) seperti itu pula. Kemudian, malaikat diutus kepadanya untuk meniupkan roh di dalamnya dan diperintahkan untuk menulis empat hal, iaitu menuliskan rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Dia, sesungguhnya salah seorang daripada kamu beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta, tetapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka dengan itu ia memasukinya. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, tetapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, maka dengan itu ia memasukinya.”
Tentunya bicara tentang jodoh, rezeki, ajal berkait rapat dengan tauhid atau keimanan
seorang Muslim iaitu iman (percaya, yakin) dengan takdir Allah SWT. Sebagaimana kita ketahui, semua hal di dunia ini sudah ditakdirkan Allah, tetapi manusia memiliki kehendak dan ikhtiar. Namun, janganlah sewenangnya kita membicarakan perkara itu sesukanya.
Maka, solusi terbaik adalah kita perlu meyakini bahawasanya semua takdir semesta telah
ditetapkan oleh Allah SWT sejak awal mula penciptaan dan manusia memiliki kehendak dan ikhtiar untuk menentukan dan memilih yang yang terbaik baginya. Sebagaimana Khalifah Umar al-Khattab RA dengan kalimahnya yang terkenal, “Kita pergi
daripada takdir Allah kepada takdir Allah yang lain,” kerana kita tidak tahu yang mana takdir kita.
Oleh yang demikian, tetaplah yakin dengan takdir Allah SWT dan terus berusaha untuk
menjadi yang terbaik dan melakukan hal-hal yang baik agar kehidupan kita berakhir dalam kebaikan iaitu syurga sebagai destinasi yang disasarkan. Seperti biasa, sesiapa pun boleh setuju untuk bersetuju dan boleh setuju untuk tidak bersetuju dengan penulisan saya ini. Moga tetap ada manfaat dan kebaikannya.
Atriza Umar
Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia