KUALA LUMPUR – Sama ada Proklamasi Darurat disambung atau sebaliknya selepas berakhir 1 Ogos ini, ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, persoalan mengenai perkara tersebut tidak seharusnya timbul, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) itu berkata, ini selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, di waktu getir ini, kerajaan perlu lebih efektif dan menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
“Ini setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.
“Oleh itu, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak, atas budi bicara baginda,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan berkata, sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
Ketua Pengarah Kesihatan itu turut dilaporkan berkata, kini hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos ini perlu diteruskan atau tidak.
Menjelas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan memberi jaminan semua mekanisma yang wujud dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.
Tegas beliau, sebagaimana dimaklumi, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan 11 Januari lalu oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ia atas asas tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat dapat terus dipelihara. – MalaysiaGazette