KUALA LUMPUR- “Kami memberi bantuan pernafasan kerana pesakit memerlukannya,” tegas Dr. Kee Pei Wei.
Pakar Intensivis, Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur itu membuat penjelasaan berkenaan susulan ada dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pihak hospital sengaja melakukan intubasi terhadap pesakit Covid-19 dan ini menyebabkan kadar kematian bertambah.
Jelasnya, tahap kesihatan kebanyakan pesakit Covid-19 kebelakangan ini merosot secara mendadak sehingga menyebabkan kematian walaupun usia mereka masih muda dan tidak mempunyai sejarah penyakit sebelumnya.
“Saya tidak pasti sama ada situasi ini disebabkan oleh varian baharu yang memasuki negara ini atau tidak.
“Tetapi ada kemungkinan varian ini menyebabkan pesakit menjadi teruk dengan sangat cepat.
“Semasa petugas kesihatan memeriksa paras oksigen di rumah ianya berada di tahap 88 peratus, apabila dimasukkan ke wad kecemasan mereka hanya diberi bantuan oksigen biasa tetapi tiba-tiba selepas 12 jam keadaan mereka semakin teruk sehingga terpaksa diintubasi.
“Ada juga di antara mereka yang meninggal dunia walaupun mereka adalah pesakit muda yang tiada sejarah penyakit,” katanya kepada Malaysia Gazette dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Tambah Dr. Pei Wei, mungkin ramai orang awam tidak memahami bagaimana virus Covid-19 menyerang sehingga menyebabkan seorang pesakit muda dan tidak mempunyai sejarah penyakit secara tiba-tiba mengalami penurunan tahap kesihatan dengan mendadak.
Katanya, beliau sendiri sebagai seorang pakar kesihatan terkejut dengan situasi yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.
“Sama seperti denggi dahulu yang mana ianya sangat dinamik sehingga menyebabkan tahap kesihatan pesakit turun mendadak.
“Ini adalah satu fenomena baharu yang saya perasan dalam kes Covid-19 dalam dua,tiga minggu kebelakangan ini,” ujar beliau lagi.
Selain itu, menurut Dr. Pei Wei, Covid-19 tidak sama dengan jangkitan kuman pada paru-paru seperti SARS, Mers CoV dan H1N1.
Ini kerana virus Covid-19 bukan sahaja menyerang paru-paru tetapi saluran darah kecil di seluruh tubuh.
Ia dibuktikan melalui hasil bedah siasat dan banyak ditulis dalam jurnal-jurnal perubatan.
Serangan itu juga menyebabkan darah beku termasuklah pada jantung sehingga menyebabkan serangan jantung dan kematian, ujar beliau. – MalaysiaGazette