Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pejabat dan kaunter perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara akan kekal ditutup sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari 15 hingga 28 Jun bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, semua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh ini akan dibatalkan, kata dana pencen itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Ahli KWSP perlu membuat janji temu semula pada tarikh selepas tempoh sekatan pergerakan penuh berakhir jika ada keperluan untuk hadir di cawangan KWSP.

“Janji temu bagi pengeluaran umur 50, 55, 60, dan hilang upaya akan diberikan keutamaan apabila pejabat dan kaunter perkhidmatan KWSP mula beroperasi semula,” katanya.

Bagi ahli KWSP yang telah memohon pengeluaran dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran dan cek jurubank, cawangan KWSP yang berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan Arahan Bayaran atau melengkapkan transaksi pengeluaran tersebut di cawangan yang telah dipilih oleh mereka.

Perkhidmatan lain seperti permohonan pengeluaran perumahan, umur 50, 55 dan 60, hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun.

Bagaimananapun, KWSP berkata proses pengesahan cap ibu jari bagi melengkapkan transaksi dalam talian ini hanya boleh dilaksanakan apabila cawangan dibuka semula kelak.

Ahli-ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk ke laman web di www.kwsp.gov.my bagi penjelasan lanjut dan menghubungi talian khas i-Sinar di 03-8922 4848.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast