Gambar hiasan
MEDIA melaporkan pemimpin-pemimpin politik di blok kerajaan dan pembangkang memasuki Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana keprihatinan Tuanku terhadap pengurusan isu Covid-19 dan kebajikan rakyat. Kali ini tiada agenda pembentukan negara baharu apabila dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika keluar dari istana namun rakyat kelihatannya sudah lali dan jenuh dengan berita-berita sensasi politik yang tidak berkesudahan.
Rakyat sangat berharap situasi pandemik Covid-19 berjaya diatasi dan kehidupan menjadi lebih baik. Namun, apakah solusi yang terbaik bagi negara untuk mengatasi tiga krisis utama iaitu kesihatan, ekonomi dan politik ini?
MAGERAN sesuai diadakan untuk menghadapi ‘darurat keselamatan’ tatkala Peristiwa 13 Mei 1969 yang mana ketika itu kabinet baru belum sempat dibentuk apabila tamat PRU ke-3. Hari ini situasinya berbeza kerana kita menghadapi ‘darurat kesihatan’ dan barisan kabinet masih lagi berfungsi dan menjalankan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang kini aktif bekerja memberikan laporannya saban hari di media massa dan sosial.
MAPEN pula adalah badan penasihat MAGERAN pada 1970 dan beberapa pihak telah mencadangkan supaya ia diwujudkan semula untuk membuat ‘total reset’ atau rombakan semula kepada sistem-sistem negara. Cuma apabila difikirkan mengapa Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom dan negara-negara lain yang turut sama menghadapi krisis tidak membuat ‘total reset’ sistem negara mereka?
Korea Selatan bangkit dari zaman susah ‘makan ubi’ pada 1953 sehingga berjaya membina zaman senang makan ‘mukbang’ secara berlebih-lebihan. Mereka melalui pelbagai krisis termasuk pengambilalihan kuasa oleh tentera, perubahan era republik sehinggalah Kim Dae-jung menjadi presiden kebangkitan pada 1998. Resepi utama kejayaan mereka bukanlah membuat ‘total reset’ tetapi membuat inovasi dalam sistem pemerintahan, cepat beradaptasi dengan perubahan dan yang paling penting menyatukan rakyatnya.
Kita wajib berikhtiar untuk terus bertahan ketika fenomena ‘Great  Reset’ dan ‘norma baharu’ sedang melanda di seluruh dunia. Namun, wajarkah kita membuat ‘total reset’ kerana ia bakal memberi impak luar jangka kepada rakyat?
Ia seperti menggunakan pisau dua mata. Agenda ‘total reset’ mungkin mencetuskan idea pembaharuan semula kontrak sosial, kejelasan peranan Islam dalam negara dan rombakan kaedah pilihan raya yang mana akan menimbulkan polemik dikalangan rakyat. Mampukah kita menggerakkan perubahan negara apabila keadaan konflik antara kaum dan agama seperti telur dihujung tanduk?
‘Regenerasi’ adalah tindakan memperbaiki satu tempat atau sistem terutamanya untuk menjadikannya lebih aktif dan berjaya. Bagi konteks ‘Regenerasi Malaysia’ ia sama dengan menjana semula segala sektor dan sumber negara melalui kebijaksanaan baharu dengan inovasi yang radikal untuk membina semula ekonomi, kesihatan, pendidikan, teknologi dan sebagainya.
‘Regenerasi’ bukan slogan biasa, ia umpama proses memulih dan menambahbaik semula kecekapan sebuah kapal untuk berlayar ke lautan samudera yang tidak pernah diteroka, ia meliputi pembinaan peta halatuju dan visi negara yang baharu. Ia menuntut proses pengislahan sikap nakhoda dan anak kapalnya untuk mengolah semula sistem, institusi dan budaya politik negara supaya lebih berkesan dan bermaruah.
Bagi rakyat jelata kehadiran gerakan ‘regenerasi’ ini akan menjadi satu harapan yang menyatukan kembali segala keyakinan yang kian merapuh. Prinsip ‘regenerasi’ adalah menjana semula pembangunan serta mewujudkan ketahanan ‘kalis krisis’ apabila berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19 mahupun ancaman-ancaman lain yang tidak diduga.
Apa ‘regenerasi’ buat? Sesuai dengan sifatnya yang progresif, ia boleh mengarah dan menggemblengkan usaha negara antaranya untuk; menjanakan semula kelestarian ekonomi baharu, memangkinkan evolusi digital dalam sistem penyampaian kerajaan dan pendidikan, mengasaskan Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Negara, memantapkan perlindungan sosial dan juga menyediakan tenaga kerja untuk sektor pekerjaan masa hadapan.
Lebih menarik lagi ialah jika ‘regenerasi’ ini dapat digerakkan melalui konsep kerjasama nasional. Rakyat, penjawat awam dan swasta, penduduk bandar dan desa akan bergotong-royong dengan dikemudi oleh pimpinan kerajaan serta bijak pandai dengan disokong oleh sektor perniagaan. Ekosistem ini jika terus dijaga dan disemai akan membenihkan akar rasa kekitaan dan menghasilkan buah-buah perpaduan dan kemakmuran negara.
Wawasan 2020 telah melepasi kita, bait liriknya masih terngiang-ngiang di ingatan. Walaupun kita belum berjaya bukan bermakna kita gagal, dalam seni pendekar untuk mengundur selangkah ke belakang bukan bererti mengalah tetapi sedang menyusun strategi.
‘Regenerasi Malaysia’ adalah satu tawaran kepada seluruh rakyat untuk memperolehi satu harapan dan keluar dari belenggu krisis ketika ini. Kita harus berani merebut peluang ini dan bersama-sama bangkit semula dari seekor kucing yang ketakutan menjadi Harimau Asia yang baru.
‘Regenerasi’ akan membuka paradigma baru untuk pembangunan negara ketika periode pasca Covid-19. Kita buka buku baru. Jika bukan kita anak Malaysia yang melaksanakannya siapa lagi?
Oleh: Mohd Salehudin Sukor
Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast