JOHOR BAHRU – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Hospital Permai yang dikhususkan untuk pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, PKRC Olive B itu mula beroperasi sejak semalam mampu menampung sehingga 585 pesakit tahap 1 dan 2 bagi kumpulan sasaran.
Beliau berkata, ia merupakan persediaan awal menghadapi pertambahan kes positif Covid-19 di daerah ini dan sebagai sokongan untuk PKRC Pasir Gudang.
Jelas beliau, setakat ini seramai lapan pesakit telah mendaftar masuk untuk dikuarantin di PKRC itu.
“Kemasukan pesakit di PKRC Olive B ini adalah bergantung kepada penilaian dan saringan daripada 12 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh daerah di negeri Johor.
“Pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di PKRC Pasir Gudang tidak akan dipindahkan ke Olive B yang hanya menerima pesakit baharu sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Permai, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah PKRC Olive B, Dr. Mohamad Faiz Maarof.
Abdul Rahman berkata, sehingga semalam, kira-kira seramai 726 pesakit yang terdiri daripada 400 pesakit lelaki dan 326 pesakit wanita sedang dikuarantin di PKRC Pasir Gudang yang mempunyai kapasiti 1,057 katil.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru berkata, sehingga kini seramai 8,425 pesakit telah dirawat dan dikuarantin di PKRC Pasir Gudang sejak ia dibuka.
PKRC Olive B, menurut Abdul Rahman, merupakan bangunan lima tingkat yang dilengkapi dengan ruangan riadah dan rekreasi, tempat rehat dan santai, ruang solat serta sebuah dewan dan boleh menempatkan 60 katil.
“Bangunan Olive B itu tidak digunakan sejak 2017 masih dalam keadaan baik bagi menempatkan pesakit tanpa gejala dan bergejala ringan itu.
“Dianggarkan seramai 100 petugas dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk badan penguatkuasa bagi pengoperasian PKRC selama 24 jam ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru kini sedang meninjau lokasi sesuai untuk dijadikan PKRC awam ketiga di bandar raya ini sekiranya trend jangkitan harian positif Covid-19 terus meningkat di negeri ini.
“Setakat ini, kita mempunyai dua PKRC awam yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala PKRC DB di Iskandar Puteri dikendalikan pihak swasta.
“Keadaan sekarang stabil namun kita perlu bersiap siaga mencari lokasi PKRC awam baharu di Johor jika peningkatan kes jangkitan terus meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette