Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka meranapkan sektor ekonomi khususnya kepada golongan bawah dan kumpulan pertengahan.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, perkara itu boleh berlaku selepas melihat kesan PKP 1.0 sebelum ini.

“Kesan sejak PKP1.0 banyak usahawan telah gulung tikar dan pendapatan mengucup…majikan tidak dapat bertahan, ramai yang telah dibuang kerja.

“Tempoh pemulihan singkat untuk mereka bangkit kemudiannya bersambung balik ekoran penularan pandemik Covid19 baru-baru hingga kerajaan terpaksa umum PKP3.0,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, adalah tidak adil hanya beberapa sektor yang dikelaskan sektor perlu (essential) dibenarkan beroperasi sedangkan sektor-sektor lain juga mempunyai kos yang perlu ditanggung.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu menilai semula perkara tersebut bagi mengurangkan kesan yang perlu ditanggung pemain industri selain merencana pelan pemulihan ekonomi yang efektif bagi negara.

Sohaimi berkata, bagi mengekang wabak tersebut dengan benar-benar berkesan kerajaan perlu melaksanakan total lockdown seperti mana PKP1.0, bukannya seperti sekarang kerana usaha menurun angka kes harian kekal tinggi disebabkan masih terdapat pergerakan.

Lebih parah, apabila terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyambung PKP sehingga meranapkan sektor-sektor lain, ujarnya.

“Sampai bila kita nak tunggu, Covid-19 gagal ditangani…ekonomi semakin tenat, rakyat menderita dan pengangguran berlaku.

“Begitu juga dengan percanggahan rantaian komunikasi antara agensi kerajaan seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Sohaimi menggesa, PKP3.0 kali ini selain bank-bank, pemberian moratorium secara automatik perlu diperluaskan kepada syarikat pinjaman kredit kenderaan seperti Aeon Kredit termasuk pembelian barangan ansuran.

“Kita tahu golongan B40 beli motosikal guna seperti Aeon Kredit, pinjaman kedai tapi tidak dapat moratorium. Ini golongan yang perlu diberi perhatian yang terlepas pandang.

“Banyak lagi yang boleh difikirkan seperti golongan bandar yang tinggal kondo, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh campur tangan meminta pihak pengurusan kediaman dan perniagaan diminta mengurangkan caj pengurusan sebanyak 30 peratus.

“Alasannya mudah, banyak fasiliti ditutup dan perniagaam tidak dapat dijalankan,” jelasnya. – MalaysiaGazette