Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes beberapa individu yang mendakwa maklumat peribadi mereka digunakan untuk pendaftaran ahli anggota jabatan itu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes beberapa individu yang mendakwa maklumat peribadi mereka digunakan untuk pendaftaran ahli anggota jabatan itu.

Pendaftaran sebagai anggota RELA itu dibuat secara automatik dalam sistem MyRela tanpa pengetahuan mereka.

RELA dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesan perkara itu ekoran tular di media sosial.

“RELA ingin menegaskan dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai anggota RELA secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.

“Perbuatan ini bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya kenyataan itu.

Selaku salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, RELA merujuk kepada Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota RELA, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan seseorang orang yang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota RELA.

Manakala katanya, Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan bahawa kecuali diperuntukkan kemudiannya, setiap orang lelaki yang telah mencapai umur 18 tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat.

Menurut RELA, pihaknya sedia maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa.

“RELA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.

“RELA juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

“Bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19,” katanya.

Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah RELA manakala individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel [email protected] untuk dibatalkan keanggotaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast