Warga emas menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh dilaksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, sekali gus rakyat boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik.

Perdana Menteri berkata, negara akan mempunyai bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini dan peningkatan kadar pemberian vaksin harian menjadikan kerajaan lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat hari ini, beliau berkata, keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali pertama yang mana Malaysia masih belum mempunyai vaksin.

”Namun hari ini, dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong.

”Pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kadar vaksinasi adalah sekitar 5,000 hingga 8,000 dos sehari dan telah meningkat kepada 50,000 hingga 80,000 sekitar bulan Mei,” katanya.

Setakat semalam sahaja, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan yakin akan mencapai lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang.

”Kita bukan sahaja sudah berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua frontliners, malahan lebih 50 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama dan kita akan terus mengutamakan golongan rentan Covid-19 yang lain seperti mereka yang mempunyai komorbiditi, seterusnya mereka yang berusia 18 tahun ke atas.,” ujarnya. – MalaysiaGazette