Ahli Dewan Undangan Permas, Che Zakaria Mohd Salleh tanah yang sudah mendap hingga berlobang akibat tanah runtuh di belakang sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini.

PASIR GUDANG – Agensi kerajaan negeri Johor dan pemaju digesa segera menangani masalah tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 dan 31 Taman Scientex di sini yang membahayakan keselamatan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, keadaan tanah runtuh terutama di belakang perumahan di Jalan Kedidi 31 berbahaya dan sangat kritikal ketika ini.

“Keretakan jelas kelihatan bukan sahaja dalam rumah tetapi luar dan belakang rumah sehingga bahagian bawah lantai berlubang,” katanya selepas meninjau kawasan kejadian hari ini.

Justeru beliau mahu Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pemaju digesa menangani masalah itu.

“SUKJ dan MBPG yang meluluskan projek perumahan ini perlu turun melihat keadaan ini dan membuat tindakan segera sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu penduduk di kedua-dua jalan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka dengan keadaan tanah runtuh yang berlaku sejak awal Januari lalu akibat musim tengkujuh pada hujung tahun lalu.

Menurut penduduk, tindakan pemaju mengatasi masalah itu dengan menggunakan batu kerikil dan memancang kayu bakau di Jalan Kedidi 1 serta menggunakan kanvas menutup kawasan tanah runtuh di Jalan Kedidi 31.

Apabila keadaan semakin teruk dan kanvas dipasang koyak serta reput, beberapa aduan dibuat kepada pemaju dan MBJB tetapi tiada sebarang tindakan susulan dibuat sehingga kini.

Menurut Che Zakaria, kerja-kerja membaiki tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 juga perlu diperbaiki kerana batu kerikil dan kayu bakau yang diletakkan tidak sesuai dan membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.

Pihak berkenaan katanya, tidak boleh lepas tangan kerana masalah tersebut merupakan tanggungjawab mereka dan kerisauan kira-kira 5,000 penduduk di kedua-dua jalan itu yang rata-ratanya golongan B40 adalah berasas.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam syarikat perumahan tersebut tidak dapat dihubungi sehingga kini untuk mendapatkan penjelasan.

BACA: Penduduk Taman Scientex diancam hakisan tanah

Minggu lalu, Malaysia Gazette juga menyiarkan keluhan penduduk Taman Scientex di sini bimbang dengan masalah hakisan tanah yang berlaku di belakang rumah mereka yang dilihat mengancam nyawa jika tindakan segera tidak diambil pihak pemaju.

Jelas penduduk, masalah berkenaan sudah diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan jangka masa panjang dilakukan sehingga hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast